Friday, November 16, 2012

Menguruskan Hati

Segalanya bermula dari hati...kemudian akal akan melaraskan,
adakala hati menang, adakala akal menang.
Di dalam Al Quran sudah tertulis banyak ayat tentang hati.
Dan yang paling aku ingat dan suka adalah ayat yang telah dilagukan oleh team ESQ ini...
"Allah menciptakan....
sukma (hati) kefasikan dan kemuliaan..
beruntunglah siapa yang menyucikannya...
merugilah siapa yang mengotorinya..." 
Sungguh sukar menguruskan hati
Iman yang berbolak balik...
Wahai hati..tabahlah, sabarlah, kuatlah!
HIJRAH...setiap tahun pun kita berjanji ingin menjadi lebih baik dari semalam, tapi hakikatnya adakala kita tewas dengan hati. Adakala kita terikut-ikut nafsu nafsi. Adakala kita memberontak, marah, geram dan penat menjadi baik. Kerana menjadi baik itu bukannya mudah, menjadi baik itu melelahkan. menjadi baik itu menyiksakan....Kita disakiti, kita dibuli....dan kerana kita sudah berjanji untuk menjadi baik maka kita terus sabar, terus tabah dan terus kuat. Sehinggalah pada suatu saat kita merasa penat dan dalam sesaat juga kita melangkah ke garisan itu, garisan yang halus, lebih halus dari benang...lebih halus dari sehelai rambut yang tak nampak oleh pandangan mata...Sekelip mata hati kita berubah arah...kita bukan lagi orang yang baik! Namun selama mana kita tidak melakukan apa yang ada dalam hati, aku percaya Allah akan tetap mengasihi. Kerana kasihnya Allah kepada hambanya yang berjaya berperang dengan hati! Wallahualam...
Dan aku?
Inilah penyelamat aku.



Melihat ke dalam matanya, mendengar suara manjanya dan terbayang-bayangkan akan keletahnya cukup mengingatkan aku setiap masa bahawa aku mesti menjadi ummi yang terbaik buat puteriku. Kerana aku tidak mahu apa yang yang aku lakukan di dunia ini akan terlampias kepada anakku pada masa hadapan. Kerana aku mahu memberikan yang terbaik buat Maisara maka aku mestilah menjadi yang terbaik  dahulu...



Puteri Maisarah...permata hati ummi, penyelamat ummi. Terima kasih sayang! Terima kasih Ya Allah di atas kurniaan ini.


Friday, September 7, 2012

Yang sering aku tinggal-tinggalkan

“Kebahagian rumah tangga bukanlah pada kuantiti masa yang diluangkan bersama isteri dan anak-anak. Penentunya adalah kualiti. Berapa ramai yang meluangkan banyak masa bersama keluarga, tetapi hakikatnya mereka tidak bersama. Mereka sebumbung tetapi masing-masing mengadap TV, tidak berkomunikasi. Ustaz sentiasa cuba pastikan setiap masa yang ada untuk bersama isteri dan anak-anak, digunakan sebaik mungkin untuk benar-benar bersama. Lihatlah Ismail alayhi al-Salaam. Sering ditinggalkan bapanya. Tetapi Ismail tidak pernah memusuhi Ibrahim. Mereka bertemu kerana Allah, mereka berpisah kerana-Nya jua."


Aku ingin sentiasa memesan pada diri sendiri bahawa apa yang sedang aku lalui kini amat menekan dan kadangkala membuat aku lelah tetapi inilah aturan Allah. Aku telah terpilih dan dipilih untuk berjuang dengan jalan ini.

Semoga aku dapat menghadapinya dengan tabah. Sara dan kanda yang sering aku tinggal-tinggalkan, semoga mereka di dalam lindungan Allah.





Monday, August 27, 2012

Cinta ini...

Cinta ini terlalu mengasyikkan. Seluruh hidupku kini seolah tertumpu padanya. Ia sangat membahagiakan tetapi juga menakutkan. Terlalu obseskah aku? Kini segalanya tentang Maisarah.  Apakah ibu lain juga sepertiku? Demi tuhan aku teramat bersyukur dan teramat bahagia. Meskipun aku sedar ini semua hanya pinjaman di dunia....

Tuesday, August 14, 2012

Ayah sejati

Kata Kanda semalam "Abang rasa macam ayah yang sejatilah!". Aku senyum sahaja...dan kala itu Sara baru lena ditidurkan oleh ayahnya.

Kata kanda dulu dia tak pernah merasa melakukan semua ini. Menjaga anak sepenuhnya seperti ayah sepenuh masa. Dulu semua maid yang lakukan dan dia sibuk menumpukan pada kerja. Dan aku pula rasa kasihan pada kanda. Tatkala Sara dalam jagaan kami, aku pula yang sering meninggalkan mereka berdua. Nyawa aku...Kanda dan Sara!

Melihat bagaimana kanda membelai, menyayangi, menjaga dan melindungi Sara maka tidak hairanlah jika Sara kelak akan lebih rapat dengan ayahnya dan bukan aku, umi yang selalu sibuk dengan kerja ini.

Setiap kali menyusun jadual kerja pasti hati aku terasa pilu, kadang sampai menitiskan air mata meskipun event sebenar belum berlaku. Sudah berapa kali saat kapal terbang mula berlepas..hati aku sedih bukan kepalang bila terbayang-bayang wajah Sara dan kanda yang aku tinggalkan demi memberi sebuah keadilan!

Dan hati ini hanya mampu berdoa, semoga setiap langkahku keluar dari rumah adalah langkah yang benar, untuk mencari kebenaran  dan memberikan keadilan....bahawa ini adalah sebuah jihad. Dan semuanya ini demi masa depan anakku juga...

Semoga Allah melindungi anak dan suamiku tatkala aku jauh dari mereka. Dan semoga Allah juga melindungi aku!

Sunday, August 5, 2012

Ketabahan

Pada saat-saat kita merasa cukup tabah untuk menghadapi segala kesukaran, tiba-tiba kita diuji dengan kesenangan ataupun kebahagiaan!

Bukan mudah menjadi tabah. Ia suatu proses yang tak pernah ada kesudahan. Ianya seumpama ijazah yang diperolehi dari sekolah kehidupan. Semakin kita tabah, semakin sukar peperiksaan yang perlu dilepasi. Dan peperiksaan itu ada banyak kategori. Mungkin ujian fizikal, mungkin ujian mental. Soalan yang muncul kadang tak terjangka dek akal. Pada masa itu kita akan blank dan tak tau macamana nak menghadapinya meski pun kita cukup yakin bahawa kita sudah cukup bersedia dan ada ketabahan itu.

Aku pun tak tahu apa lagi yang bakal muncul kelak....sungguh, lepas satu....satu...Beberapa bulan dulu aku puas menangis, sekarang aku asyik tersenyum gembira.

Dan Maisarah....dia menjadi penyebab aku kini merasa aku ingin hidup lama! Aku ingin melihat Maisrah membesar depan mata dan memberikan seluruh hidupku kepadanya. Terlalu obseskah aku?

Kebelakangan ini kerjaya ini banyak menguji...at least aku berkerjaya...bukankah aku seharusnya bersyukur???

Dan apa lagi??? Ya. Teringat-ingat kata-kata adik sahabatku nan seorang itu suatu masa dahulu. Berapa ramai orang yang ingin menjadi aku! Tak sedar ke???

Ujian ini teramat sedikit dan terlalu kecil sayang...

Dan bukankah aku sedang gembira! 

Hei...Maisarah sudah pandai berjalan! My princes sudah pandai berjalan dan mengejar aku. Malah sesekali mulut pelatnya sudah pandai menyebut umi dengan nada pelat ummeyy...

Wahai hati yang tabah...bukankah hidup ini sangat indah!
 

Wednesday, July 18, 2012

Happy Birthday Sayang!

Ini adalah merupakan catatan aku yang ke 101 dalam blog ini. Ingin aku abadikan catatan ini untuk kanda tersayang sempena ulang tahun kelahirannya yang jatuh pada 18 Julai setiap tahun.

Sayang,
Kita sering bertelingkah dan berbalah tentang isu
Kita sering marah dan merajuk
Kita sering tidak mengalah
dan akhirnya kasih sayang yang mengikat kita
tetap semakin kukuh!

Betapa pun banyak dan acapkali hati ini kau lukai
lebih banyak lagi hati ini kau sirami dengan embun kasihmu
yang tak terperi!

Sayang, bersamamu umpama satu eksplorasi...
yang penuh dengan kejutan demi kejutan
yang membuat aku menangis dan ketawa
yang membuat aku teruja
yang menyebabkan aku merasa betapa kau
ISTIMEWA....

Sayang, kau anugerah tetapi juga ujian
yang mengubah aku menjadi tabah
yang mengubah aku menjadi redha
yang mengubah aku menjadi dewasa!

Betapa banyak pun kekuranganmu
kau tetap yang terbaik buatku
kau hadiah dari Tuhan

Sayang, Selamat Hari Jadi!
Happy birthday to you
I love You


Saturday, June 9, 2012

ANAK AYAH


Inilah anak ayah. Tidur malam mahu ayah tidurkan. Menangis malam pun mahu ayah pujukkan. Manja bukan main "anak ayah" seorang ini. Puteri Maisarah buah hati pengarang jantung umi dan ayah...

Dua hari outstation, Sarah umi tinggalkan di bawah jagaan ayah. Dengan sedikit keraguan tapi selebihnya penuh yakin pasti Sarah dijaga dengan baik. Alhamdulillah...memang Sarah ni "anak ayah".

Setiap kali Sarah umi tinggalkan kerana terpaksa bertugas di luas kawasan, hati umi resah gelisah. Rindu umi pada Sarah tak terkata, kadang sampai menitiskan air mata...

Umi anggap ini ujian. Ujian Allah pada umi kerana  memikul tanggugjawab serentak sebagai seorang isteri, ibu, pekerja dan juga pelajar. Ujian ini pasti ada hikmahnya. Umi akan bersabar dan berdoa, jikalah apa yang sedang umi tempuhi ini baik untuk kita semua lebih-lebih lagi Sarah...semoga Allah permudahkan. Dan jika ianya memudaratkan kita semua lebih-lebih lagi Sarah, maka umi pinta agar Allah berikan jalan yang mudah kepada umi dan juga kita semua...

Maisarah...Maisarah...Maisarah...Anak yang pintar....
Maisarah...Maisarah...Maisarah...Puteri Solehah...
 Inilah lagu setiap kali umi mendodoikan Sarah...moga jadi kenyataan...
Ameen Ya Rabbal Alamin


Majlis Tahlil, kesyukuran dan potong jambul Puteri Maisarah

Sunday, April 8, 2012

HADIAH DARI TUHAN



Siapalah yang tidak akan jatuh cinta pada mata secantik ini. Tatkala pertama kali diberitahu dengan berita ini dan juga berpeluang melihat gambarnya aku dan kanda sudah sangat gembira malah teruja. Inilah hadiah dari tuhan buat kami. Hadirnya pada saat kami benar-benar bersedia. Puteri Maisarah adalah hadiah terindah dari Allah swt buat kami sekeluarga. Terima kasih Ya Allah, aku amat bersyukur dengan kurniaanmu ini. Semoga puteri kami ini akan menjadi seorang muslimah solehah dan juga seorang hafizah...InsyaAllah...
MAISARAH...
UMI DAN AYAH SUDAH SANGAT RINDU DAN SAYANG PADAMU MESKIPUN BELUM MELIHAT DIRIMU ANAKKU...
TATKALA KAU BERADA DALAM RIBAAN KAMI...RASA KASIH DAN CINTA ITU SEMAKIN MENEBAL. SEAKAN SELURUH HIDUP INI INGIN KAMI BERIKAN SEMATA-MATA UNTUK MELINDUNGI DAN MENYAYANGIMU...
SEMOGA MAISARAH AKAN JADI ANAK YANG CEMERLANG DUNIA DAN AKHIRAT...
YA ALLAH PERMUDAHKANLAH URUSAN KAMI UNTUK MEMELIHARA DAN MEMBESARKAN ANAK INI. SEMOGA KELAK MAISARAH AKAN MENJADI PEJUANG YANG MENEGAKKAN AGAMAMU...
AMEEN YA RABBAL ALAMEEN...

Friday, March 23, 2012

Kahwin dan Anak

Sejak semalam...sampailah ke malam ini, topik ini sahaja bermain di mulut aku....
Ada orang yang sangat konvensional pemikirannya
Haji N : Kesian dengan Cik H..tak kahwin...tak ada suami
Aku : Beruntung juga dia, di akhirat esok tak payah bersoal jawab urusan dia dengan anaknya, dengan suaminya, dengan mertuanya, dengan ipar duainya...
Nak beribadat sunat sebanyak mana, tak perlu minta izin...nak puasa ke, nak bangun solat tengah malam ke...untung Cik H
Haji N : Tapi dia tak ada zuriat...
Aku : Emak ayah saya ada 8 anak yang kesemuanya berkerjaya hebat...insyaallah kami tak pernah lupa pada mak dan ayah, tapi mak dan ayah kini tinggal berdua di kampung. Sakit pening jiran yang tengok, bukan kami. Bila ayah sakit, dia tak benarkan emak menelefon kami kerana bimbang akan menggangu kerja kami sementelah kami semua tinggal jauh. Bimbang menyusahkan kami untuk bersegera mengambil cuti dan balik ke kampung....saya sedih tapi tak mampu berhenti kerja lantaran banyak komitmen hutang! Nak ajak mak dan ayah tinggal bersama takkan mereka mahu kalau rumah di kampung lebih selesa dan mendamaikan!
Masalah kita ni bela anak dengan minda bahawa bila anak dah besar anak akan bela kita balik, bagi duit kat kita. Bela anak, didik anak, jadikan anak umat yang berilmu dan berjaya itu ibadah! Tapi jangan harap anak itu bayar balik kat kita...dan janga pula kata orang tak ada zuriat itu kesian.......pastikah anak kita akan bela kita??? Pasti??? Kalau anak kita sakit? Mati dulu? Tak berjaya dan tak berduit untuk bagi pada kita? Tak menjadi sebagai ujian Allah? belum lagi kalau anak kena queen control, anak jadi penagih dadah dan sebagainya atas ujian Allah kepada kita. bagaimana?
Dah tak ada zuriat ambillah anak angkat. Setahu saya cik H tu ada anak angkat.
Haji N : Kawan saya ambil anak angkat lelaki, supaya senang bergaul dengan suami dia, tahu-tahu suami dia meninggal. Dah problem dia nak duduk serumah dengan anak angkat dia.
Aku : Contoh ye, katalah saya ada anak angkat lelaki. Masa anak angkat tu dah dewasa, saya pun dah kerepot macam nenek kebayan...tak menarik, berkeredut seribu....tahap aurat saya pun dah berbeza. Jikalah saya sakit terlantar tua gayut begitu...agak-agaklah haram tak anak angkat lelaki saya menjaga saya...contohnya menolong membersihkan najis saya (minta simpang janganlah saya sakit menyusahkan orang bila dah tua nanti) Agak-agak perbuatan anak angkat lelaki saya tu menyentuh untuk merawat saya jatuh hukum haram ke...atau besar pahala dia dapat? Allah Maha mengetahui....Tuan haji kena baca banyak lagi ni..(tak nak komen dah takut salah keluar hukum)
Haji N : Tapi anak angkat kawan saya ni jadi penagih dadah...kesian dia
Aku : (senyum) Anak lelaki atau perempuan, memberi rezeki dan membesarkan anak angkat (anak yatim atau anak "malang") itu besar pahalanya. Tambahan lagi kalau dia besar jadi umat yang berguna....tapi kalau tak menjadi itu tanda Allah menguji dia...Barangkali kifarah kepada dia...dan mungkin jika dia tabah dan sabar serta redha...Allah mengangkat darjat dia!
Anak bukan jaminan kesenangan hari tua...orang yang ada anak...dah pandai sekolah ...berkerjaya....tak dapat juga menjaga kita...
Haji N : Anak saya berhenti kerja sebab nak jaga saya...masa saya sakit dulu.
Aku : Anak lelaki atau perempuan?
Haji N : Perempuan.
Aku : Dah berkahwin?
Haji N : Belum...
Aku : Kalau bujang oklah...kalau dah kahwin dan suami dia tak bagi...macamana? Kalau dia ada banyak tanggungan macamana?
Haji N : Betullah, saya ada kawan yang berenti kerja nak jaga suami. Tahu-tahu suami mati awal dan dia tak de kerja...anak ada tiga...susah hidup dia...
Aku : Sebab tulah....kahwin ke, andartu ke, beranak ke, tak beranak ke...soal penting kebahagiaan dan kesenangan hidup terletak pada diri sendiri dengan pertolongan Allah...jangan judge hidup orang tak cukup baik berbanding hidup kita atau sebaliknya...semua diatur Allah sempurna...
Aku pun start bentang projek masa hadapan aku....
On the way balik dari campus malam ni...aku membentang untuk kali keberapa dengan ciktiny...projek masa hadapan kami...Ya Allah makbulkanlah impian kami ini.
At least kami ada impian! Sebab tanpa impian, takkan ada cita-cita. Tanpa cita-cita takkan ada apa pun menjadi dalam hidup ni...Inilah jihad kami buat masa ini, menuntut ilmu. Dan jihad suami kami, mengizinkan isteri menuntut ilmu...malah menawarkan cuti memasak pada hari ada kuliah! Alhamdulillah...
Akhirnya, redha Allah jualah yang kita cari....

Monday, March 19, 2012

Dull

Yeap...sebab tak ada apa-apa yang menarik kebelakangan ini. Kuliah semester pertama pun tak cukup mengujakan hidup aku. Kadangkala aku seakan blur...Jam 6 petang hingga 9 malam bukanlah waktu produktif untuk minda aku menerima ilmu. Ia lebih kepada menghadirkan diri bagi memenuhi syarat...

Tidak cintakah aku dengan ilmu? Tentulah bukan kerana itu. Aku sememangnya suka membaca dan suka menghabiskan masa di perpustakaan. Tapi kuliah di sebelah malam benar-benar meletihkan sementelah di siang harinya aku bertungkus-lumus dengan amanah di tempat kerja. Mungkin juga aku sudah tidak fit sementelah peningkatan usia, dan benar, kurang senaman juga puncanya. Dulu sewaktu belajar peringkat ijazah..aku juga ke kelas malam...hampir setiap hari bermula jam 7 hingga 10 malam. Sempat pula balik ke rumah dan memasak hidangan ringkas untuk suami dan anak sebelum memandu ke kampus...selalu sampai lewat pula tu...still aku teruja amat dengan kehidupan begitu. Yalah..itu waktu usia 20an.

Barangkali aku masih mencari dan memposisikan momentum hidup aku. Maklumlah...lepas bersenang-lenang dua tahun....sejak tamat master dulu...ni nak belajar semula...Minda pula belum benar-benar dilestarikan untuk melalui hidup sebagai pelajar Phd sepenuh masa tetapi melakukannya secara separuh masa! Dalam erti kata lain enjin belum betul-betul panas. Maklumlah, aku ini memang suka memulakan sesuatu walau tak sepenuhnya bersedia. Selalu macam tu! Sebab aku percaya kita ni takkan pernah 100% bersedia dalam apa jua perkara pun. Selalu sahaja fikiran kita dikacau-bilaukan dengan penyakit keraguan, penyakit kemalasan dan pelbagai lagi. Yang penting melawan dan meredah terus...macam akulah, main redah je...kemudian usaha, doa dan tawakal...Allah kan ada...

Memangkah hidup aku agak dull tapi banyak juga keseronokannya...banyak sangat!

Monday, March 5, 2012

Ada apa pada EGO

Setahun yang lalu, aku ditukarkan ke Bahagian ini. Tak pernah aku jangka dan aku redha...Kehadiran aku, khabarnya sangat diinginkan oleh sekumpulan group management dan juga tak dipersetujui oleh sekumpulan group management yang lain. Asalnya aku tak tahu. Aku fikirkan dalam commitee penempatan pegawai di peringkat atasan ini, pastilah ianya collective decision. Mungkin group 2 menang tipis jadi tertransferlah aku. Aku yang jauh dari memikir dan juga tak pernah ambil tahu hal-hal politik di sini, mula belajar tentang sesuatu...dan merasainya....

Ketara sekali rasa itu tatkala aku hadir mewakili bos sewaktu mesyuarat....Aku asyik kena tembak jika bos 1 yang mempengerusikan meeting...Pula tu aku asyik di"highlight" jika bos 2 yang chair the meeting. Bos 1, tak pernah tegur aku jika berselisih apatah lagi senyum, bos dua pula rajin bertegur sapa denganku...Aku ni telah digroupkan ke???

To be frank, I never want to involved with their conflict...I never knew that there were a groups tried to build their legacy...maybe for the organization's benefit, or for their own benefit! I don't know and i don't care!!! But I care when people try to put me in the group. Honestly I knew nothing about this...I just want to do my best, I want to serve my organization, I want to serve people because that is my responsibility, and yes I got paid for it.

But, doesn't matter how much I try to motivate myself....iman goyang juga. Hati oh hati...

Tahun lepas, tekanan menyesuaikan diri dengan bos yang kuat kerja dan standard yang tinggi, masa dan usaha digandakan untuk produktiviti dua kali ganda....fokus membina karakter ketelitian dan zero defect, dan dalam masa yang sama asyik ditembak dan dimalukan dalam meeting tatkala mewakili bos.

Puas aku memujuk hati...inilah kifarahku...inilah kifarahku...Ya Allah, aku redha...ampuni aku...

Aku tahu mereka itu sangat tak suka bos aku...sangat-sangat gembira menantikan saat-saat tamatnya kontrak beliau. Tinggal tiga minggu sahaja lagi. Dan aku???

Aku tahu sebab utama aku dipilih ke sini dulu kerana mereka mencari orang yang boleh "handle" dia. Tak kisahlah...soal handle menghandle sebab aku kerja bukan untuk dia semata...aku digajikan oleh kerajaan Malaysia untuk berkhidmat dan menurut perintah...

Dan hari-hari yang aku lalui bukanlah mudah. Bayangkan pada suatu masa aku duduk di tempat duduk belakang kenderaan, pintu kereta dibukakan dan aku berjalan di atas red carpet diiringi para usheres ke meja VIP...duduk bersama Menteri....dan pada masa yang lain aku dimarahi di hadapan pihak-pihak, diperlakukan seperti typist yang tak berkelulusan SPM pun! Dan sungguh mereka ingat aku seorang typist!!! Bagaimana aku mengendalikan perasaanku waktu itu??? Aku telah meletakkan diri aku serendah rendahnya, dan ego ini aku buangkan jauh-jauh, tanpa mengangkat muka aku hanya meluah kata-kata baiklah, maaf, baiklah, maaf....Dan pada ketika itu aku sedar kenapa "orang terdahulu" cabut lari. Dan akulah yang terpilih menggantikan tempat itu!

Bayangkan kalau "orang biasa yang tak bertitle" pun cabut lari, inikan pula aku. Dan aku bersyukur kerana aku bertahan. Selalu aku tanamkan apa jua yang aku lakukan adalah untuk kebaikan kepada orang lain....Biarlah dia menginjak-injak maruahku (mungkin jua egoku) yang penting aku tidak dihukum Allah. Moga Allah mengampuni segala kesilapanku...aku redha jika ini kifarahku...

Di sini, saat aku melangkah setiap hari aku tinggalkan kehidupan VIP itu dan menjadi seorang pekerja yang taat. Tapi tetap aku tak bernilaikan??? Kenapa? Because they hated my boss so much and maybe they hate me too. Aku ke sini atas inisiatif group 2, dan group 1 mungkin ada pilihan lain...whatever!. I don't belong to any group. I'm not!!! Aku tak terlibat dalam "konspirasi" itu...

Sehari dua ini, rasa sedih dan marah mencengkam hati...bukan sebab apa pun. Sejak setahun lalu tak pernah sekali pun tuan pengerusi itu mahu senyum atau bertegur sapa denganku...tapi jika ada peluang dalam meeting hendak menembak aku sahaja. Dan aku yang mewakili bos selalu merasa apa jua yang aku laporkan bagi pihak bos semuanya tak baik...tak apalah...

Well, dunia ini ada karma...jika dia melayan aku dan beberapa lagi orang lain begitu just because we're not in his legacy list or what so ever...the things will come back, maybe not to him, but to his family members, to anak cucu cicit ...or come back to him! Allah maha melihat, maha mendengar, maha mengetahui...

Aku tidak berdendam...cuma aku sudah melalui banyak perkara dalam hidup ni...yang macam roda, sebab itu, tak kira di tempat mana aku berada aku selalu membawa diri aku seadanya...sebab kita bukan sesiapa! Kita ini semua hamba.

Aku tidak tahu ke mana hala tuju yang Allah akan bawa aku selepas ini, tapi apapun aku tahu perancangannya adalah yang terbaik, dan aku jua sentiasa berdoa yang terbaik.

Apalah ada pada ego. Bukankah ego itu nafsu...

Tuesday, February 21, 2012

JATUH CINTA

"Peribadi yang termasuk dalam kategori "terpisah" daripada visi, misi dan nilai organisasi adalah mereka yang tidak mengerti bahawa apa yang mereka kerjakan menyumbang kepada kesejahteraan manusia"



Ken Blanchard & Sheldon Bowles



Aku jatuh cinta! Dengan melihat fail-fail yang berlonggok dalam bilik aku ni sahaja sudah buat aku teruja. Ya Allah, kekalkanlah keterujaanku ini sepanjang masa...







Banyak sungguh amanah yang perlu diselesaikan ye...oops! ada epal bawah meja! Sekarangh time lunch, jom makan!


Buat kalian semua di luar sana, baik suri rumah, baik seorang pekerja bawahan, baik seorang ketua, baik pekerja sukarelawan...setiap dari apa jua kebaikan yang kalian kerjakan sangat bermakna terhadap kesejahteraan manusia di muka bumi ini! Jika diniatkan kerana Allah swt, maka banyaklah saham akhirat yang akan kalian perolehi.


"Dan ingatlah aku tidak menjadikan jin dan manusia melainkan untuk menyembah dan beribadah kepadaku"


Surah Adzdariat Ayat 56

Thursday, February 16, 2012

BERSANGKA BAIK

Alhamdulillah, selesai sudah bengkel selama satu setengah hari yang aku hadiri bagi mewakili bos aku yang kebetulan perlu mendengar kes selama 3 hari berturut-turut. Beruntungnya aku berpeluang menghadiri kursus sebegini kerana selain ilmu baru, aku juga dapat bergaul dengan segenap lapisan pegawai terutama pengurusan atasan. Dalam kumpulan aku sendiri, ada 4 orang pengarah yang mana dua darinya adalah bekas bos aku dulu, seorang pegawai kanan dan aku bersama seorang lagi rakan yang sama rangking. Bila berada dalam kumpulan yang sama, tiada isu rangking tapi semua pendapat dan penglibatan ahli kumpulan diterima sama-rata. Dan yang penting banyak juga hasil pembentangan kumpulan lain yang aku save untuk simpanan peribadi dan tentulah kelak berguna untuk tujuan akademik.


Dalam berbincang dan brainstorming tu, sempat jugalah kami melencong bersembang isu-isu semasa tentang hal-hal kehidupan. Apa jua yang berlaku pada kita hendaklah kita sentiasa bersangka baik sebab kita tak tahu apa akan jadi esok dan di masa depan. Allah s.w.t sudah aturkan yang terbaik maka kita mestilah selalu bersyukur. Yang penting sekali jangan berlagak dan besar kepala atas kedudukan dunia yang sementara ini....


Ya, aku ingat tu...dan akan selalu memacukan hidup aku untuk memperolehi redha Allah swt di samping terus berusaha memajukan diri. Semoga jika aku berjaya di masa hadapan, dapatlah aku memberi sumbangan yang lebih terhadap pembangunan bangsa, agama dan negara. Tiadalah apa yang kuharapkan, melainkan saham akhirat sebagai balasan. Insyaallah.


Happy, I'm a Phd student now!

Friday, January 27, 2012

TAK PERNAH BERMIMPI

Ada perkara-perkara yang berlaku dalam hidup ini, tak pernah sekali pun aku bermimpi mengenainya.


Semasa zaman remaja, aku banyak bermimpi tentang cita-cita, harapan dan juga membayangkan sesuatu yang ingin aku realisasikan jadi kenyataan.


Yang aku harap sangat-sangat tak satu pun menjadi kenyataan seperti aku mimpikan. Tapi banyak juga perkara yang aku capai yang tak pernah ku bermimpi pun selama ini...


Dan aku menerima apa yang tak pernah aku sangka-sangkakan. Aku percaya ramai dari kita, maksud lagi ramai lagi orang lain di luar sana sama seperti aku...


Aku, tak pernah bermimpi untuk mendaki tangga demi tangga untuk mencapai tahap yang aku perolehi ini..betapa payahnya. Bulan hadapan aku akan mendaftar sebagai pelajar Phd, sungguh aku tak percaya!


Aku tak pernah bermimpi malah memikirpun untuk mengharungi kegagalan dalam perkahwinan dalam usia muda dan terpaksa mengusung gelaran janda yang paling aku takuti malah ngeri untuk menyebutnya..


Aku tak pernah bermimpi untuk diperisterikan oleh seorang lelaki yang memberikan aku gelaran segera umi, wan dan juga datin...tak pernah terfikirpun yang hidup aku akan berubah sejauh ini kerana selama ini aku hanya memikirkan kehidupan yang serba serbi sederhana..


Aku sering mimpikan sebuah unit keluarga yang lengkap dan sederhana...hingga kini aku tak tahu apakah impian itu akan jadi kenyataan...Allah tak mahu memberi lagi, aku redha perancangannya...


Aku sering mimpikan berhujah di gelanggang mahkamah sejak remaja lagi...dan kini aku hanya mampu menonton mereka di gelanggang yang sama...kerjaya ini bukanlah kerjaya impian malah tak pernah ada dalam kamus hidupku...tetapi inilah rezeki yang Allah aturkan untukku...


Aku sering mimpikan yang indah-indah, tapi keindahan itu tidaklah jauh dari hidupku, cuma aku mendapat taman yang lain untuk aku nikmati keindahannya, bukan taman yang sangat-sangat aku dambakan itu...


Kehidupan kita semua sama...ada yang lebih dan ada yang kurang, janganlah berputus asa dari rahmatNya..

Thursday, January 26, 2012

HATI

6.50 petang, tingkat 14, Sunway Putra...




Masih di sini, cuba melupuskan sebahagian tugasan yang tertunggak sejak minggu lepas.




Hati...agak berkecamuk. Antara semangat yang berkobar-kobar dan kebosanan. Benarlah, menerajui hati adalah bukan SENANG. Kerana hati adalah raja....Jika elok hati maka eloklah semua anggota.




Oh, aku tak sabar-sabar mahu penuhkan hati aku dengan ilmu baru...tak sabar-sabar mahu mulakan kuliah. Aku sudah mula pandai bosan dengan kehidupan indah kuniaan Allah ini. Benarlah aku ini hamba yang tak reti nak bersyukur. Astaghfirullah...




Pagi ini, mewakili Puan Pengerusi ke mesyuarat mingguan kerana beliau masih bercuti CNY. Mesyuarat hari ini dimulai dengan sepotong ayat dari Al Quran beserta maksudnya, yang sedikit sebanyak memberi penawar kepada hatiku ini. Aku suka! Suka sangat kalau setiap kali meeting dimulai dengan cara begini...(terima kasih kepada KSP yang mewakili TPE hari ini mempengerusikan mesyuarat!)




Dari Surah Huud...lebih kurang begini aku faham huraiannya, jika kita niat bekerja kerana dunia, maka Allah akan berikan dunia...namun rugi di akhirat kerana tiada pahala untuk apa yang kita kerjakan itutapi jika kita bekerja kerana akhirat maka Allah akan kuniakan kita kedua-duanya, dunia dan akhirat..Insyaallah...




So, hati yang berbolak-balik ini, sedarlah..kau tu jadi macam ni mesti sebab terlebih fikirkan dunialah ni...Na'auzubillah...




Ya Allah...perbetulkan niatku...sucikan hatiku Ya Allah...




Aku mahu belajar bukan kerana mengejar dunia...aku mahu penuhkan dadaku dengan ilmu dan mengangkat darjat umatMu Ya Allah...mudah-mudahan dengan ilmu dan gelaran yang bakalku sandang kelak, dapat aku mencurahkan setitis ilmu ini buat manfaat umat sejagat, kerana aku tahu ilmuMu terlalu luas, dan aku bukanlah sesiapa...

Friday, January 6, 2012

JANUARI 2012

Lagi 5 tahun ke 40 tahun.
Sudah dalam kategori tua, berpengalaman dan matang bagi seorang wanita. Tapi adakala, sikap kebudak-budakan datang jugak, perangai tak matang muncul jugak...cepat-cepat patah balik, cepat-cepat recover.
********azam 2012***********

Setiap awal tahun kita berjanji macam-macam pada diri sendiri, ada yang siap declare pada orang lain. Bagus, ada azam, ada target. Aku? memanglah macam-macam nak buat, tapi eloklah lepaskan satu-satu. Bulan ni, sibuk dengan urusan wedding adik. Bulan Februari sebuk dengan hal pendaftaran semester pertama pengajian, dan jugak sebelum tu nak bawa mak dan ayah pi melancong. Bulan Mac dah start kuliah, Bulan April...dan seterusnya sibuk mengejar KPI kerja yang dibayar gaji tiap-tiap bulan nilah...lepas tu ramadan...raya....dah hujung tahun....pulak.
So azam aku ni...nak buat semua tu lah...at my level best. Ya, jugak nak diet sikit, berat dah naik tahap obes ni..takut...
Oh ya, aku juga berhasrat melaksanakan satu training program, dalam kepala sudah merangka-rangka modul dan penceramah yang bakal aku panggil. Salah seorangnya ialah Ustaz Zaharuddin. I wish he could come to give a talk about Islamic Financing issues. Currently there are so many issues arised. Especially, cases in Tribunal, sukar nak rujuk previous cases, setakat ni yang kami jumpa pun sivil cases yang againts Bank Islam. So...macam -macam kat kepala aku ni nak buat tau...
Syaitan pun mula mengipas-ngipas. Dia ada di mana-mana mengajak supaya aku jangan rajin...jangan berusaha, kerja lebih kurang sudahla...kau bukan nak naik pangkat pun...haishhh ...
Saat berbincang dengan rakan sekerja (my junior that has become my superior) hehehe...Aku tanya soalan simple jer...why kita tak buat garis panduan yang jelas pasal early settlement on Islamic Financing. And why we keep on kata, its on agreement...semak jadual IBRA...they have signed an agreement..
Kalau aggreement tu jelas-jelas menindas....Islam ke tu? Kalau untungnya berlipat ganda, Islam ke tu? Zaman kini ramai orang guna perkataan Islam untuk kepentingan diri sendiri, untuk menarik perhatian orang ramai...pembiayaan islam, pembiayaan yang halal, kami ada panel syariah...riba itu haram...jadi pilihlah pembiayaan "cara Islam".
Aku betul-betul nak bercakap dengan orang yang arif. Kalau organisasi ini sendiri gagal sediakan garis panduan yang jelas, sampai ada orang boleh manipulate perkaraan "cara Islam" itu. Dan kemudian menindas pihak yang naif dan lemah...Islam ke tu?
Aku kata ini bukan cara Islam...ini lebih teruk dari cara kafir. Sedangkan riba itu haram, but at least bila kita buat early full settlement, they will recalculate the loan and give us rebate. At least!!! Bukan aku sokong riba, maksud aku skim pembiayaan Islam mesti lebih baik dan lebih competative! baru orang hormat Islam. Tak dela wujud case kat sivil court si polan si polan lawan Bank Islam..ya Allah...ujian apakah ini.
Janganlah kita badan yang ada authority ni biarkan orang tak bertanggungjawab menyalahgunakan dan membusukkan "cara Islam" yang syumul ini...Aku tak boleh terima tu!
Saat bos aku yang non-muslim tanya...Inikah cara Islam? Bukankah cara Islam lebih baik dari sistem konvensional dan lebih adil??? And she ask me the best method to count for the settlemet, for her decision. Aku nak rujuk kat mana?
Patutkah aku tak bersetuju dengan dia sebab memang ia berlaku dalam kalangan masyarakat ini??? Dan ada bukti pun. Kat mana aku nak letak muka aku yang berjuang mengatakan sistem pembankan Islam adalah yang terbaik...adil dan tidak menindas, tapi dalam masa sama ada orang yang guna istilah itu untuk mengaut keuntungan melampau!!!
Ada banyak kes di mana apabila pemohon membuat penyelesaian awal pinjaman mereka yang mengikut kaedah Islam, mereka dikehendaki buat bayaran penuh harga jualan tangguh. Dengan alasan dalam perjanjian macam tu. Both party dah setuju dengan harga dalam perjanjian. So adilkah perjanjian itu? Betulkah kaedah pengiraan full settlement yang mengambilkira unearned profit itu??? Ini lebih teruk dari skim riba.
Jadi bukankah tanggungjawab organisasi yang aku sayangi ini untuk membenteras kejadian seperti ini? Dan mengeluarkan garis panduan atau peraturan sewajarnya? menguatkuasakan undang-undang kepada orang yang menyalahgunakan kemudahan ini?
Entah apalah aku merepek nikan...sebenarnya aku rasa macam tak lepas tanggugjawab aku di sini, melihat ramai orang yang tertipu dan tertindas atas sebab kenaifan mereka tentang memasuki kontrak..But I can't save the world. Tapi aku pun nak buat sesuatu supaya kesedaran itu dapat meresap dalam jiwa masyarakat....meskipun sedikit ilmu dapat aku kongsikan, tak mengapa sebab aku tau memang I can't save the world!
Hakikatnya aku pun terlibat juga.
Contohnya loan rumah aku, ambil skim Al-Bai Bithamin Ajil, kadar keuntungan (harga jualan tangguh) lagi tinggi kadar untungnya berbanding faedah (riba). Monthly installment pun tinggi... Yang selamatnya ialah, jika aku lambat bayar...atau hutang aku tertangguh...interest takkan naik. So aku selamat kat situkan? Sedangkan dalam sistem riba, kalau hutang kita tertunggak, interestnya akan naik,naik dan naik....itulah yang dikatakan riba itu menindas. Tapi jangan tak tau, sekarang ni golongan ni dah pandai...dalam perjanjian cara Islam, depa create pulak penalty...if lambat bayar...kena penalty. Ada beza ke dengan interest yang makin naik tu? hahaha...again penggunaan istilah....dan juga akad of course!
Dalam Islam kita kena tepati janji. If kita beli barang cara jualan harga tangguh (hutang) dan janji nak bayar instalment sebelum 5hb tiap bulan, kenalah tepati janji (kontrak) itu. Jadi kalau kita dah janji, then kita mungkir janji, berdosa tau. Itu menindas peniaga yang bagi pinjam kat kita, sebab barang kita dah ambik (sewa). Maka balasannya kat dunia kita kena denda (penalty). Kita pun dah setuju dalam kontak kita yang kita akan didenda jika lambat bayar...
Aku memang berusaha memilih sistem perbankan Islam sebab aku mahu jiwa aku tenang...dan memang jelas riba itu haram. Aku yang bayar tinggi ni...berusaha untuk melapangkan dada aku daripada prasangka. Aku pun pernah baca tulisan Ustaz Zaharuddin, katanya bahagian kita dah lepas, sebab kita pilih cara Islam. Tapi andai sistem itu tak sempurna (tak ikut Islam sepenuhnya seperti gelarannya) maka panel syariah bank berkenaan jawabla di akhirat besok. Kan??? Senang je kalau fikir macam tu...(tanpa fikir duit ratusan ribu yang kita kena bayar tulah!!!)
Tapi ada masa aku cemburu dengan kawan-kawan yang ambil skim konvensional ni...sebab depa bayar jauh lebih rendah dari aku...bukan sikit bezanya berpuluh ribu woiii..... jadi perasaan ragu-ragu aku ni hasutan syaitankah???
Patutkah aku halalkan aje beza puluhan ribu yang aku bayar ikut kaedah cara Islam itu??? Again ikutlah nasihat ustaz Zaharuddin, yang penting bahagian kita dah lepas.....Dunia ni memang tak adil, itulah hakikatnya. Dunia ni hanya akan sempurna kalau Islam itu dilaksanakan sepenuhnya, bukan separuh separuh.
Tulisan aku ni kontroversi ke?
Aku nak bagitau kat sini bahawa Islam telah menetapkan cara berniaga yang adil dan menang-menang...
Yang tak adil tu orang...yang berat sebelah tu orang...bukan Islam. Islam tu perfect!
Tapi adalah menjadi tanggugjawab badan berautoriti, macam opis kesayangan aku ni, macam Bank Negara, macam panel syariah bank-bank berkenaan termasuklah koperasi kredit yang terlibat memastikan produk pinjaman mereka ikut cara Islam yang betul...bukan yang bengkang bengkok!

Sekian. Minta maaf tak de hadis dan surah untuk aku quote kat sini sebab aku tak pakar nak berhujah bab-bab itu...nantilah aku tunggu komen dari Ustaz Zaharudin ok.