Wednesday, February 4, 2015

Catatan Buat Ahli Syurga Puteri Maisarah.

Bismillah,

Sara yang umi dan ayah sayangi,

Bulan ini merupakan bulan yang amat mencabar buat umi. Sara masuk sekolah tadika, umi pula perlu menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Penyeliaan Phd kali pertama. Dalam masa yang sama tahap kesihatan Sara tidak begitu baik. Selama tiga minggu berturut-turut Sara mengalami demam panas waktu malam. Demam dua hari, baik dan minggu depan demam lagi. Sungguh umi dan ayah sangat risau. Kami bergilir berjaga malam menjaga Sara. Kejadian Sara diserang sawan yang konik sehingga tidak sedar diri Disember tahun lepas benar-benar menerbitkan fobia dan kebimbangan yang teramat sangat terhadap Sara yang kami sayangi.

Bulan ini juga, umi dan ayah mula merancang masa depan Sara dengan begitu teratur. Demi melihat Sara berjaya dunia dan akhirat, kami berhasrat untuk menyekolahkan Sara di sekolah tahfiz. Beberapa tinjauan yang dibuat, akhirnya umi dan ayah memilih sekolah tahfiz di Bangi untuk menghantar Sara belajar kelak. Maka bermulalah pencarian hartanah di Bangi. Umi berhasrat membeli rumah yang hampir dengan sekolah Sara bagi memudahkan urusan menghantar dan mengambil Sara di sekolah kelak. Rumah itu juga akan menjadi kediaman kita sekeluarga dan Sara akan membesar di sana. Kata ayah tempatnya damai dan sunyi serta majoriti penduduknya melayu. Kediaman yang sederhana dan selesa. Insya Allah, semoga Allah permudahkan urusan persekolahan Sara kelak. Semoga impian ayah dan umi untuk membesarkan Sara sebagai seorang hafizah akan dimakbulkan Allah sw.t.

Sara yang umi dan ayah sayangi,

Sara adalah dunia umi dan ayah kini. Seluruh kehidupan ini umi abadikan untuk melihat Sara membesar dengan sihat dan juga berjaya dunia akhirat, Insya Allah.

Umi ayah sayang Sara sangat-sangat. Sayang Sara hingga ke Syurga. Semoga di sanalah tempat berkumpulnya kita untuk selama-lamanya.