Wednesday, May 6, 2015

Catatan untuk Sahabat Wangi Ahli Syurga.

Entah kenapa semalam aku jadi celaru dan buntu. Tinggal dua hari lagi Mesyuarat Jawatanuasa Penyeliaan. Namun aku syik memikirkan Puteri Maisarah. Proses rawatan yang memakan masa dua tahun, ujian demi ujian yang perlu dilalui buat aku bimbang, malah tidak tahu keputusan bagaimana yang harus diambil.

"Engkau terlalu fikirkan Sarah!" Leter sahabatku ini tatkala dia aku hubungi bagi mencari jalan keluar.

Sambungnya lagi,"Engkau lupa siapa pemilik kita? Jangan sampai cintakan anak sehingga melebihi cinta Allah! Sekarang nampaknya engkau terlalu risau kerana engkau lebih cintakan anak dari tuhan!" Berdesing telingaku.

"Mungkin betul apa yang engkau katakan. Adakala aku rasa mahu tinggalkan semua yang sedang aku lakukan sekarang. Aku hanya mahu menjaga Sarah sepanjang masa."

"See! Engkau telah lulus banyak ujian dalam hidup. Ujian perkahwinan, ujian persahabatan, ujian susah tak ada duit. Pendek kata semua engkau dah rasa. Semua tu bukan apa-apa lagi. Tapi kini Allah beri ujian baru. Ujian anak. Kenapa? Supaya engkau semakin dekat denganNya."

Kali ini aku tidak terkata apa. Yang mampu aku sambut hanya dengan berkata. "Ya..."

"Sekarang jangan buat apa-apa pun. Pergi ambil wuduk, buat solat istikharah dan mengaji. Bukalah mana-mana halaman Al Quran dan baca. Minta pada Allah. Minta Allah beri jalan, beri petunjuk. Aku cuma boleh cakap sebab aku dalam keadaan stabil, cuba kalau aku yang kena. Masa itu engkau tolong ingatkan aku, marahkan aku, leterkan aku." Ayat ini bukan sekali aku dengar. Ada masa aku juga mengingatkan dia perkara yang sama.

Sahabat wangi. Aku sayang kau kerana Allah. Leterlah aku yang selalu lupa ini...

Tahu apa jadi selepas itu? Aku segera ambil wuduk. Aku dirikan solat, selesai solat aku mohon doa pada Allah bersungguh-sungguh. Kemudian aku ambil musyaf Allah dan aku buka halamannya. Ketika itulah entah kenapa aku teringat ayat yang selalu aku sebut dan catatkan dalam status facebook.

Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang engkau dustakan?

Aku baca Surah Ar-Rahman. Hanya beberapa ayat mampu aku baca, kemudian air mataku berhamburan. Suaraku jadi tersekat-sekat berselang seli dengan tangis. Sehinggalah ayat yang kubaca tidak lagi dapat disebut dengan sempurna. Hidung sumbat. Nafas tersekat-sekat. Aku hentikan bacaan seketika dan menangis sepuas-puasnya. Aku luahkan perasaan kepada Allah.

Wahai pemilik semesta alam, 
tunjukkan aku jalan, 
jalan yang lurus, 
yang engkau redai...

Apabila perasaanku kembali reda, aku teruskan bacaan semula.

Petang itu entah kenapa terasa ingin berkongsi rasa dengan Grup Whatsup KAAS (Keluarga Angkat AsSalihin) Ramai pula yang mendoakan kami. Ustaz Salleh yang merupakan admin group tersebut menawarkan diri untuk membantu mengubati Sarah. Allahu Ya Allah...Beliau meminta aku menghantar mesej secara peribadi kepada beliau.

Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang engkau dustakan?

Lewat petang itu, aku tiba-tiba teringat pengetua sekolah Sarah iaitu Dr. Aishah ada memaklumkan tentang sejenis makanan tambahan yang boleh membina kembali sel-sel dalam badan termasuk sel-sel otak. Aku segera pm beliau. Tidak berapa lama selepas itu dia menghubungi aku. Mungkin inilah jalan yang Allah beri. Mungkin inilah jalan alternatif daripada membiarkan Sarah terus menjalani ujian demi ujian, kemudian diberikan ubat-ubatan mengandungi bahan kimia. Inilah jalan yang Allah buka....

Semoga Allah permudahkan urusan kami.

Malam itu aku tidurkan Sara sambil berniat, "Ya Allah, kejutkan aku malam ini, aku mahu solat dan menulis tesis"

Tepat jam 2 pagi, kanda yang terjaga dari tidur mengejutkan aku. Aku segera bangun dan mengambil wuduk. Aku dirikan solat dan aku minta lagi padaNya, "Ya Allah berikanlah aku jalan, permudahkan urusanku Ya Allah." Tanpa aku menyebut secara spesifik apa yang aku mahu, kerana aku yakin Allah tahu apa yang ada dalam hatiku.

Usai solat laptop aku buka, perlahan-lahan aku meneliti satu demi satu artikel jurnal sambil cuba mengolah ayat demi ayat. Aku terus menulis sehinggalah azan subuh berkumandang. Manakala hidung semakin sumbat, segera aku makan ubat yang agak kuat bagi mengatasi nafas yang semakin tersekat-sekat. Usai solat subuh, segera aku kejutkan kanda. Aku baringkan tubuh di sisi Sarah. Mata letih sangat rasanya...

Allah! sudah jam 8.45 pagi. Aku terlena dengan nyeyak sekali penangan ubat selsema yang di makan.

"Sarah, bangun nak, sekolah! Sarah, bangun sayang." Sara masih tidak mahu bangun. Anak ini tidur lewat malam tadi. Jam 11 malam masih mahu menemankan aku belajar. Nah, inilah akibatnya. Salah umi juga bukan?

Aku segera mandi dan menunaikan solat Dhuha, padaNya aku merayu lagi, "Ya Allah, permudahkanlah urusan kami Ya Allah, tunjukkanlah jalan."

Pagi ini Sara lewat ke sekolah tadika. Puas aku memujuk dan memandikannya, kemudian memujuk pula agar minum jus  yang aku ambil dari Dr. Aishah. Bukan mudah memujuk Sara. Pagi dan malam Sara perlu diberi CellMaxx. Ia sejenis makanan tambahan dari algae yang 100% tiada bahan kimia. Rasanya seakan buah peach yang aku bancuh dengan menggunakan air ECPI. Ini usaha, ini ikhtiar. Semoga Sarah akan sembuh Ya Allah.

Sara tiba di sekolah tadika pada jam 9.30 pagi. Aku pula terus bersarapan. Sekitar jam 10.30 pagi saat aku melalui surau di kawasan kediamanku, aku nampak beberapa orang wanita keluar dari pintu pagar. Hati terdetik mahu bertanya. Teringat pesan emak sewaktu balik kampung tempohari, "Kalau kita cari masa lapang, masa tidak akan pernah lapang."

Tidak semena-mena tangan terus memusing stereng, menuju ke parkir tepi jalan hadapan surau. Kaki aku melangkah teruja. Salam yang kuberikan bersambut.

"Saya ingin menyertai jemaah wanita surau ini. Mahu ikuti kelas pengajian anjuran surau." Aku terus sahaja menyampaikan apa yang telah lama terbuku di hati.

"Oh, boleh...marilah dik. Ini jadual bulan ini" laju sahaja wanita yang memperkenalkan dirinya sebagai Kak Wan menghulurkan kertas jadual kepadaku. Aku teliti jadual itu satu-satu. Setiap hari kelas bermula jam 9.30 pagi. Hanya hari Isnin, Rabu, Khamis dan Jumaat sahaja ada kelas pengajian.

"Oh, ada kelas tafsir pada hari Isnin, seronoknya. Memang sudah lama saya mahu sertai kelas tafsir, tetapi sebelum ini saya bekerja, baru sekarang jadual saya fleksibel,"Kataku penuh teruja.

Wanita-wanita yang kebanyakannya sebaya ibuku senyum memandang ke arahku.

"Tetapi mesti kakak sudah belajar banyak, sudah jauh ke depan."

"Eh, tidaklah. Kelas tafsir ini baru bermula. Baru satu surah iaitu Surah Al-Mulk yang kami belajar. Itu pun baru sepuluh ayat." Kata seorang lagi kakak yang meminta aku memanggilnya ibu.

Allahu Allah, inilah yang aku cari-cari. Sebelum ini ada sahabat mengajak aku belajar, tetapi kuliah tafsir di hari minggu. Ia memang agak sukar bagi aku.

Malam tadi aku tidak tidur sampai ke subuh kerana menulis tesis tanpa henti. Pagi ini Sarah lewat ke sekolah. Rupa-rupanya kelewatan itu mengandungi hikmah. Ada pertemuan sudah di atur Tuhan.

Sahabat, benar katamu, yang aku perlu adalah meminta sahaja padaNya. Kerana kita ini hamba.



No comments: