Dua tiga hari ini aku dan kanda agak mandom kerana satu lagi peristiwa kecil yang menggugat hati kami. Wahai sayang marilah kita kongsikan kekuatan ini.
Malam tadi, ceramah ustaz dimula dengan dua kisah yang terasa dekat dengan kami. Betul-betul terkena batang hidung kami berdua. Aku dan kanda.
Kisah Rasulullah yang berduka kerana sehingga ke akhir hayat bapa saudaranya Abu Talib, beliau tidak mahu mengucap dua kalimah syahadah. Tidak menerima dakwah Baginda. Hingga ke nafas terakhirnya Rasulullah masih berusaha mengajak beliau mengucap, tapi akhirnya beliau menghembus nafas terakhir sebagai seorang kafir! Dan Rasulullah sungguh berduka...Kemudian duka itu berganda kerana pada tahun yang sama isteri tercinta juga turut pergi iaitu Saidatina Khadijah, membawa sebahagian kekuatan Baginda. Itulah tahun kesedihan bagi Rasulullah sebelum terjadinya peristiwa Isra' Mikraj. Ya Allah...Dia itu Rasul kekasihmu, juga tidak berjaya mendakwahkan semua insan yang dikasihinya. Itulah ujian kepada kekasihmu....
Kisah Nabi Noh a.s yang tidak dapat mendakwahkan anaknya sendiri. Dan anaknya mati ditenggelamkan oleh bah lantaran tidak mahu beriman dan menurut kata-kata ayahandanya supaya naik bahtera bersama-sama....Ya Allah, seorang nabi juga kau uji dengan kegagalan dalam usaha dakwahnya, malahan kepada anaknya sendiri!
Jadi sayang, janganlah bersedih. Kita sudah mendengar cerita ini bukan??? Bahawa tugas dakwah itu bukan mudah. Bahawa tidak semestinya kita akan berjaya mengajak orang lain untuk turut serta bersama-sama kita. Memadai kita berusaha mendakwahkan diri kita sendiri terlebih dahulu. Dan pada orang-orang yang kita kasihi itu, jika lidah ini tak berupaya menuturkan kata, maka berdakwahlah dengan hati. Marilah kita mendakwahkan mereka dengan hati...dengan doa.
Bukanlah besar sangat ujian kita berbanding ujian berdakwah untuk membetulkan aqidah manusia seperti yang dihadapi oleh para Rasul, para Nabi dan para Sahabat. Inilah salah satu ujian pada akhir zaman, di mana ramai umat muslim tetapi sangat sedikit mukmin. Umat muslim yang melupakan tikar sembahyang, malah ada yang yang tidak tahu bersolat....
Dan kita sendiri, meski menghadapNya setiap waktu, khusyukkah solat kita??? Setiap rakaat itu benar-benar khusyukkah kita menghadap Ilahi???
Dan aku sendiri??? Inilah ujian yang lebih besar barangkali....
Hanya Allah Yang Maha mengetahui akan diriku, melebihi dari diriku sendiri....berikan kami petunjuk, permudahkan perjalanan kami...menuju kepadaMu...hampir kepadaMu...
No comments:
Post a Comment