Friday, June 17, 2011

Ke mana rasa ini hendak kubawa???

Memang hidup ini satu ujian. Dan ujian itu sudah tentu adakala buat kita sangat bahagia dan gembira dan adakala ujian itu buat kita sedih dan menderita. Tetapi ke mana hendak kubawa rasa itu. Apakah berbaloi untuk merasa bahagia dan gembira jika natijahnya kelak kita dimurkai Allah. Dan Apakah berbaloi untuk meratap bersedih atas derita sengsara yang akhirnya juga membawa kepada kemurkaan Allah s.w.t.

Biarlah kita berbahagia atas redha dan rahmatNya. Dan jika kita derita sengsara juga biarlah dalam redha dan rahmatNya.

Kenapa aku menulis begini ya? Kerana dalam hidup aku sudah melalui banyak ujian pelbagai bentuk yang Allah hantarkan kepadaku. Tetapi merenung kembali semalam yang telah aku tinggalkan, adakah aku benar-benar menghadapi setiap ujian itu dengan penuh bermakna, dengan penuh berhikmah. Meski kini cara berfikir aku sudah jauh berbeza tetapi adakala hati aku goyah juga. Tidak kira betapa aku berkata aku menerima dengan positif segala ujian dan beban tanggugjawab yang tergalas dipundakku di dunia ini, tapi adakala hatiku goyah, aku mengeluh juga. Perasaan-perasaan negatif mulai meraja di hati. Dan sungguh, rasa yang paling aku takut ialah rasa give up. Aku sudah give up untuk memberi. Sudah penat. Aku lelah bermain dengan perasaan yang merasa tidak diri dihargai, kebaikanku tidak dibalas sewajarnya dan aku tidak mendapat pengiktirafan yang sepatutnya dari orang-orang yang telah aku tumpahkan seluruh hidupku untuk mengembirakan dan menjaga perasaan mereka sahaja. Ya Allah ke mana hendak ku bawa rasa itu? Ke syurga??? Ke neraka mungkinlah….dan aku bermohon padamu Ya Allah, Aku tahu aku tidak layak masuk syurgaMu, tapi aku tak sanggup menghadapi api nerakaMu….

Ya, Syurga. Memikir esok belum tentu lagi aku masih di dunia ini, aku cepat tersedar dan tersentak. Bagiku memohon maaf bukan lagi satu perkara yang berat dan merendahkan mertabatku. Dan patutkah aku kecewa jika permohonan maafku tidak dipedulikan dan diendahkan??? Hendak senangkan rasa, tugas aku sudah selesai, biarlah orang itu…kalau dia tak mahu memaafkan aku yang beralah meski itu belum tentu salahku, hanya Allah yang maha tahu. Segalanya demi kemaslahatan hubungan. Semua itu, rasa-rasa yang begini dan begitu buat aku memikir, besarkah ujian rasa ini. Dan aku tersenyum tatkala mengenangkan, ujian rasa ialah apabila kita gagal mengendalikan perasaan dengan bijaksana. Ianya satu ujian yang kalau gagal dikemudikan mungkin membawa padah yang lebih buruk. Rendahkah martabatmu beralah? Rendahkah martabatmu membuat orang rasa besar dan menang? Rendahkah martabatmu membela ego orang??? Rendahkah??? Sekali lagi aku pulangkan segalanya itu kepada mu Ya Khalik, yang memiliki diriku dan segala apa juga yang aku miliki di dunia ini. Kerana dipengakhiran cerita, yang patut aku pelihara adalah hubungan aku denganMu Ya Rabb. Dan maka dengan itu apa jua yang aku lakukan….ianya semua adalah keranaMu. Membuang sikap putus asaku, membuang egoku, merendahkan mertabatku dan tidak membela diriku meskipun aku sedar aku yang benar (pihak benar ke aku?) Sekali lagi, hanya Allah yang Maha Mengetahui meskipun apa yang ada di dalam hati kecil ini, hanya Dia yang lebih tahu dari diriku sendiri.

Rasa-rasa itu, hanyalah merupakan ujian kebijaksanaan mengemudi hati. Dan aku sudah berjanji bahawa apa pun yang menguji aku selepas ini aku akan selalu ingat yang satu ini-

“Terlalu kecil seperti hama ujianmu Ya Allah kepadaku insan yang lemah iman ini. Syurga itu pun belum tentu layak untukku. Tetapi kerana aku bermatlamatkan mahu ke sana, maka biarlah Engkau sahaja Ya Allah yang menghakimi diriku. Penghakiman manusia tidak patut mengecewakanku atau membuat aku berputus asa. Ujian apa sahaja yang kuhadapi di dunia ini, tidak patut menjejaskan pengemudian hatiku sehingga terbabasnya imanku dari menjaga hubunganku denganMu Ya Allah. Aku menerima setiap ujianMu sebagai tanda kasihmu kepadaku, kerana Kau mahu aku dekat denganMu…Sebagaimana kau menguji umat-umat mu yang terdahulu dengan ujian yang lebih sukar dan lebih dashat. Sebagaimana kau menguji kekasihmu Muhammad Ya Rasulullah, meskipun telah Engkau janjikan syurga untuknya……betapakah??? Dan siapakah aku dibandingkan dengan kekasihmu itu, langsung tidak layak dan terlalu tinggi mertabatnya kekasihmu yang maksum itu. Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim…ampuni aku Ya Allah, redhai aku dan juga kami semua yang sering alpa dan goyah….Terimalah kami semua Ya Allah…Amin Ya Rabbal Alamin”


Hari hari yang kita lalui, pelbagai rasa yang menerpa di jiwa…tetapi biarlah kita mengemudinya atas landasan iman dan takwa. Dan kalau tersasar, cepat-cepatlah kembali ke landasan…tersasar sedikit sekali sekala itu biasa kerana kita manusia yang memang mudah lupa, tetapi jangan biarkan rasa itu membawa kita tersasar jauh hingga kita lupa siapa diri kita yang menjadi milikNya…

Rasa bahagia, rasa kaya, rasa pandai, rasa bertuah, rasa betul…..berhati-hatilah dengan rasa itu, kembalikan kesyukuranmu pada Yang Maha Esa, jangan kita melupai itu adalah pemberianNya (ujian) dan boleh ditarik balik bila-bila jua. Dan tidaklah kita merasa lebih berbanding sesiapa….

Rasa sedih, rasa malang, rasa bodoh, rasa tidak diadili…..berhati-hatilah mengemudi rasa itu dan berdoalah pada Yang Maha Esa, dekatkan diri sentiasa padaNya dan jangan berputus asa mencari hikmah di setiap kesusahan itu. Dan tidaklah kita merasa kurang berbanding sesiapa….

Akhir sekali wahai hatiku, peganglah apa yang telah kau katakan ini. Ambil ini sebagai ubat untuk dirimu sendiri.

1 comment:

Kaktiny said...

Staaaannnddd Up..

I give you my standing salutation for the wording.. and the spirit..!!..

"Ambil ini sebagai ubat untuk dirimu sendiri" (ya.. dan untuk hatiku jua.. apabila merasa sesuatu yang tidak enak dirasa, apabila menjadi terlalu terasa kepada rasa-rasa yang menyeksa!).