Tuesday, August 23, 2011

Yang Aku Cintai

Kanda...



Setiap kali menatap wajahnya kasih sayangku melimpah ruah. Terasa ingin aku berikan seluruh hidupku ini terhadapnya. Pun aku kadangkala diburu serba salah dan rasa ragu bisikan syaitan. Benar-benarkah aku ikhlas menyintai dan menyayanginya. Tulinkah perasaanku ini? Mampukah aku berbakti kepadanya sehingga ke akhir usia kanda, atau sehingga ke akhir hayatku sendiri???


Siapalah sangka sudah lebih 7 tahun kami bersama. Tapi sehingga ke hari ini aku masih merasakan seolah kami masih baru bercinta. Kami baru berjumpa. Rasa itu masih terasa sangat segar.


Bahagia benarkah kami? Apakah kami tidak pernah teruji? Tipulah kalau kami tak pernah diuji. Malah ujian besar juga telah acapkali kami tempuhi. Dan membina hubungan itu patut bemula dari 0 kemudian meningkat dan meningkat seumpama kita mendaki puncak gunung yang tinggi....semakin didaki, semakin tinggi. Dalam proses pendakian itu adakalahnya kita akan tergelincir, kita akan cedera, kita akan tersesat arah dan kita kepenatan seakan mahu berputus asa. Kita rasa seperti ingin berpatah balik juga ada!


Kanda, belajar menyintainya seperti suatu eksplorasi yang penuh kejutan dan mengujakan, adakala memenatkan. Aku sebenarnya bukan semakin mengenali dirinya semata, tapi aku lebih-lebih lagi telah dapat mengenali diriku sendiri! Aku lebih-lebih lagi menyintai tuhan!


Manusia berubah seiring dengan perjalanan masa. Hendak mengubah orang yang kita cinta bukanlah boleh dalam sekelip mata. Kadangkala aku jua tertanya banyak sungguh doaku yang telah Allah makbulkan, termasuklah doa melihat kanda berubah, menjadi hamba yang bertakwa dan menjadi murabbi kepada aku isteri yang dilindunginya. Tapi doa yang satu itu, kenapa tidak dimakbulkan sehingga kini? Aku redha dan berusaha melihat banyak hikmahnya...



Kanda, kini menyaksikan dirinya yang tidak pernah gagal walau seharipun bangun sepertiga malam sujud padaMu Ya Allah...sungguh betapa banyak kasih dan rahmatMu kepada kami Ya Allah...Aku akur, bahawa hanya kepadaMu aku bermohon dan berserah...kerana Engkaulah yang lebih mengetahui segala sesuatu, termasuklah segala keperluanku melebihi daripada diriku sendiri.....


Ya Allah, lindungilah dan rahmatilah insan-insan yang aku cintai di dunia ini dan permudahkanlah kehidupan kami memacu hidup menuju ke syurgaMu yang abadi...Ameen Ya Rabbal Alamin...

Monday, August 22, 2011

Menangislah

Sepuluh malam terakhir......seakan tidak cukup tempoh masa yang dikurniakan. Seakan tidak puas mengecap rahmatNya. Seakan sedikit sangat ibadahku bagi mencuci dosa dan memperolehi redhaNya.




Entah kenapa, malam tadi saat rakaat terakhir solat witir, hati aku diserbu perasaan pilu. Mengenang diri yang adakala berdukacita lantaran rasa tidak cukup. Malu sungguh rasanya. Aku, hamba yang lemah iman, yang sedikit amat ibadahnya sedang berusaha membina takwa, kadangkala goyah dengan godaan dunia, kadangkala memikir perkara yang tidak sepatutnya...




Dan air mataku bercucuran kerana sungguh aku takutkan tuhan. Aku takut dan aku malu untuk menghadapMu sedangkan hatiku pun belum mampu aku sucikan 100%. Ya Allah perkukuhkanlah kecintaanku terhadapmu setiap hari biar tak pernah padam, biar melimpah ruah dalam hatiku akan rasa cintaku terhadapMu...




Cintaku padaMu yang menjadikan aku tidak takut apa-apa lagi. Cintaku padaMu yang menjadikan aku insan yang berbahagia di dunia ini menuju ke alammu yang abadi....terimalah cintaku, terimalah aku!

Tuesday, August 16, 2011

CINTA RAMADAN INI

Ramadan ini CINTA kami semakin kukuh dan semakin berseri...segala-galanya menjadi begitu indah dan membahagiakan. Ibadah yang dilakukan bersama-sama sungguh menyeronokkan. Tidak bergaduhkah lagi kami? Oh silaplah kalau tak bergaduh bukan namanya Kak Long dan Bang Long. Tapi segala yang kami argue tak lebih sekadar berbalah atau tak sependapat tentang sesuatu isu. Ianya just on that event. Lepas tu kita boleh bercinta balik macam biasa. Takde kecil hati atau rajuk berpanjangan. Except for kanda yang memang ngada-ngada suka merajuk sebab nak aku pujuk!






Ya Allah, benarlah. Dengan menyintaimu, maka CINTA sesama manusia akan menjadi lebih bermakna. CINTA padamu Ya Allah membuatkan CINTA kami bermatlamatkan mencari redha semata-mata. Dan kami sungguh bahagia Ya Allah...






CINTA. Entahlah kalau orang bercakap tentang CINTA monyet, atau CINTA pandang pertama, atau CINTA sejati or what so ever. Semua tu pernah aku andaikan dulu.... Tapi kini bagi ku CINTA itu akan menjadi lebih mantap setelah teruji. Malah apa juga epilog duka serta musibah yang melanda semuanya berhikmah. Termasuklah jika kita melakukan kesilapan, ianya bertujuan supaya kita belajar serta lebih menghayati pemberian Allah s.w.t.






CINTA itu rahmat serta kasih Allah. Tapi cinta juga ujian. CINTA sepatutnya dapat membawa kita ke syurga. CINTA buat kita rasa ingin banyak memberi daripada menerima. CINTA buat kita rela melepaskan apa jua demi memberi bahagia.






dan CINTA, jangan sampai menyesatkan dan diperhambakan olehnya, jangan sampai buat kita rasa mahu memiliki semua, jangan sampai kita rasa CINTA itulah segala-galanya seperti tiada Allah bersama-sama kita. Jangan takut kehilangan cinta kerana CINTA Allah sentiasa ada...






CINTA boleh datang dan pergi dengan izin Allah. Berdoalah agar CINTA kita dirahmati, kekal sampai ke syurga...Insyaallah.




CINTA RAMADAN INI ANUGERAH ILAHI YANG TAK TERPERI!

Saturday, August 6, 2011

Air tangan emak

Aku sangat ingat suatu masa emak saudaraku yang masih muda bertanya pada emak. Anak Kak Kiah pandai-pandai, Kak Kiah bagi makan apa? Jawab emak ikan kering...sambil berseloroh.




Entah kenapa hati aku hari ini rasa semacam, melankolik. Aku teringat juadah air tangan emak! Menulis ini pun air mata aku menitis...Ya Allah, rindunya aku pada emak!




Emak bukanlah seorang suri rumah sepenuh masa. Emak seorang petani yang turun ke bendang membanting tulang empat kerat membantu ayah. Waktu kecil dulu, aku masih ingat kadangkala aku akan ikut emak ke bendang, emak bekerja, aku berkubang! Waktu kerja emak sama waktu pejabat. Jam 8 pagi emak sudah berselut dalam sawah. Jam 12 atau jam 1 tengahari baru emak balik untuk masak tengahari, nanti usai solat zuhur, sekitar jam 2 petang emak pergi lagi. Lewat jam 5 atau 6 petang barulah emak balik bersama-sama ayah. Bayangkan betapa penatnya emak berselut, berpanas dan berhujan di bendang demi mengerjakan tanah untuk mencari rezeki buat kami adik beradik. Waktu itu arwah atuk masih sihat, jadi atuklah yang menjaga aku dan adik-adikku. Dan bila atuk mula jatuh sakit sekitar aku berumur 13 tahun, tugas menjaga adik-adik dan mengurus rumahtangga beralih ke bahuku tatkala emak ke bendang. Akulah yang menjaga adik-adik, mengemas rumah, memasak dan membasuh kain-baju. Itupun cuma ketika musim cuti sekolah!




Walau penat ke bendang, emak tidak pernah gagal menyediakan sarapan, makan tengahari dan makan malam untuk kami sekeluarga walaupun menunya barangkali hanya ikan kering yang divariasikan dengan pelbagai resipi masakan seperti masak lemak, masak asam, sambal tumis dan juga gulai. Malah ikan kering bakar! Ikan kering yang dibuat dari ikan sepat, ikan puyu dan juga ikan haruan disimpan dengan banyak sekali untuk musim sawah kering. Waktu ini iaitu waktu musim menuai, sawah kering kontang dan pada masa inilah kami tak akan dapat makan "ikan darat". Jadinya stok yang disimpan berbulan-bulan itulah yang akan jadi menu harian kami. Hampir setiap hari! Hanya jika ada duit extra sedikit barulah ayah akan ke pekan Kurau membeli ikan termenung atau ikan gelama. Sesekali dapatlah merasa udang kertas atau sotong cumit. Ayam dan daging? Hari raya atau pergi kenduri rumah orang sahajalah baru kami merasa.




Aku terkadang malu dengan diriku sendiri. Emak bekerja dengan tulang empat kerat, berpanas berhujan tapi tak pernah gagal memasak dan mengurus rumah tangga serta mendidik kami adik-beradik dengan sempurna. Malahan kesemua kami lapan beradik belajar mengaji Al-Quran dengan emak, dan kerja sekolah juga disiapkan dengan bantuan emak. Kain baju yang berbakul, khasnya baju berdaki kanak-kanak lelaki lasak emak basuh dengan tangan...Pernah aku terjaga jam 1 pagi hendak buang air kecil, aku terserempak emak sedang bertinggung menghadap sebesen besar baju. Ya Allah, emakku... Kau kurniakanlah syurga untuknya. Kerana khidmatnya terhadap suami, anak-anak dan ibubapa dan mertuanya....




Emakku, beribu tiri. Tapi khidmat baktinya kepada ibu tiri sangat aku kagumi. Walau pun jarak usia mereka sekitar 10 tahun sahaja.... Emak yang menjaga ibu tirinya saat dalam berpantang. Malah mereka silih berganti menjaga di antara satu sama lain kerana bersalin bergilir berselang tahun. Adik-adik emak, yang dilahirkan ibu tirinya dijaga bagai menjaga anak sendiri. Aku sendiri bila sudah melangkah alam sekolah, seingat aku 12 tahun...barulah tahu insan yang kupanggil atuk itu adalah ibu tiri emak! Tak pernah aku tahu yang emak beribu tiri kerana layanannya terhadap ibu tirinya seperti ibu kandung sendiri! Dan sampai hari ini atuk itulah atukku dunia akhirat!




Emak, apakah ada wanita lain dalam hidupku yang lebih layak untuk aku banggakan???




Emak, aku rindu air tangan emak!

Friday, August 5, 2011

Wahai hati-hati yang lara

Wahai hati-hati yang lara. Entah kenapa ingin sekali saya katakan ini kepada kamu. Barangkali kamu sedang dirahmati. Barangkali Allah s.w.t sedang menunjukkan jalan kepada kamu. Barangkali Dia sedang menunjukkan tanda-tanda untuk kamu membuat keputusan. Istikharahlah...


Wahai hati-hati yang lara. Apakah kamu masih dilema dalam memilih keputusan yang terbaik? Apakah kamu masih dilema untuk memilih keutamaan dalam hidup kamu? Jalannya mudah sahaja, utamakan hubungan kamu dengan Tuhanmu. Utamakan hubungan kamu dengan Tuhanmu terlebih dahulu dan kemudian segala-galanya akan menjadi baik, Insyaallah. Bersangka baiklah dengan Allah dan senantiasalah memikirkan hikmah....



Wahai hati-hati yang lara, berbaloikah kita berduka dan takut dengan dunia berbanding alam selepas nyawa kita diambil olehNya. Kenapakah kita takut dengan keberterusan hidup di dunia ini sedangkan kita tahu Allah itu ada begitu hampir denganmu. Sedekat urat pada lehermu....


"Dan sesungguhnya KAMI telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, dan KAMI lebih dekat kepadanya dari pada urat lehernya." ( Surah Qaaf ayat 16 )


Yakinlah dengan langkahmu. Selangkah kamu hampir kepadanya beribu langkah Allah akan berlari kepadamu....Betapalah kamu dicintaiNya...Betapalah kamu dicintainya.......tapi berapa banyakkah pula kamu membalas balik cinta Tuhanmu...Nilailah hatimu yang lara itu, berbaloikah berduka-lara untuk cinta manusia yang bersifat sementara ini???


Wahai hati-hati yang lara, yakinlah dengan pilihanmu, dan pilihanmu itu adalah jihadmu demi mencapai redha Allah. Berhenti takut akan dunia kerana dunia ini mungkin juga bisa menghantarmu ke pintu neraka. Alihkan hatimu, alihkan niatmu...teruskan langkahmu dengan yakin. Katakan bahawa Allah ada bersamaku, aku tidak takut apa-apa lagi.



Wahai hati-hati yang lara. Aku tidak pandai menasihat tetapi inilah cara aku memujuk hatiku sendiri tatkala aku diuji. Aku hanya memberi jalan...tetapi terpulanglah kamu memilih jalan apa yang kamu mahu. Kerana kebahagiaanmu terletak di dalam genggamanmu sendiri...


Bersediakan kamu merubah dirimu??? Kenapa perlu bertangguh esok? Andai ini Ramadanmu yang terakhir bagaimana???

Thursday, August 4, 2011

REZEKI

Ujian itu juga merupakan rezeki pada kita. Tanpa kita sedar rupa-rupanya kerana ujian itulah maka kita telah mencapai sesuatu dalam hidup kita. Kerana satu ujian dalam hidup kita, telah merubah diri kita menjadi lebih berjaya dari sebelum ini. Malah ujian tersebut juga telah mengkayakan karakter kita.

Aku, tanpa sedar kerana banyak ujian sejak kecil, sejak alam sekolah telah menjadikan diri aku seperti hari ini. Pencapaian aku dalam hidup adalah kerana aku diuji. Ujian menjadi faktor penolak kepada aku untuk berusaha membaiki diri dari segala segi.

Dan usahaku sekarang bukan sekadar membaiki diri dari aspek pencapaian material. Yang penting sekali ialah membaiki diri untuk berjumpa dengan tuhan. Cukupkah amalanku? Cukupkah taubatku? Cukupkah segala kebaikan yang aku berikan kepada orang lain?

Benar, aku cuba melatih diri bahawa, kebanggaan dan keegoan adalah sesuatu yang tidak perlu aku pertahankan lagi. Biarpun apa dan bagaimana aku diperlakukan, yang penting adalah apa yang telah aku lakukan. Aku takkan boleh menghalang perlakuan orang kepada diriku tetapi aku boleh menghalang diriku dari memperlakukan yang tidak elok terhadap orang lain waima bersangka buruk sekalipun...

Aku, yang tak sempurna ini hanya berharap supaya aku tabah menghadapi apa jua rintangan dan cabaran kehidupan. Tabah mempertahankan janjiku bahawa, yang penting ialah apa yang aku lakukan. Melakukan yang terbaik setiap hari...

Kata kanda, takkan hilang bisa ular yang menjalar di akar. Dan takkan rendah diriku di mata tuhan andai dalam segala hal aku yang beralah dulu. Apatah lagi memulakan huluran kemaafan. Membuang ego bukanlah suatu kehinaan...kate kandaku!

Aku, Kak Long yang keras sedikit-sedikit sedang mencairkan hatinya...dan kanda adalah mentor utama! Oh, itu juga rezeki!

Monday, August 1, 2011

Ramadan kali ini

Ramadan tiba, hati berbunga ria. Segala gundah berlalu pergi. Yang tinggal perasaan tulus suci. Pergilah amarah, pergilah benci, pergilah sakit hati. Pergilah....




Ramadan kali ini, tiada apa yang kupinta, melainkan redhamu Ya Allah. Terimalah setiap ibadahku, ampunkan dosaku dan makbulkanlah doaku. Amin Ya Rabbal Alamin...




Buat kanda tersayang, moga Ramadan ini memantapkan lagi kasih sayang antara kita dan memacu kita ke syurga...