Thursday, August 4, 2011

REZEKI

Ujian itu juga merupakan rezeki pada kita. Tanpa kita sedar rupa-rupanya kerana ujian itulah maka kita telah mencapai sesuatu dalam hidup kita. Kerana satu ujian dalam hidup kita, telah merubah diri kita menjadi lebih berjaya dari sebelum ini. Malah ujian tersebut juga telah mengkayakan karakter kita.

Aku, tanpa sedar kerana banyak ujian sejak kecil, sejak alam sekolah telah menjadikan diri aku seperti hari ini. Pencapaian aku dalam hidup adalah kerana aku diuji. Ujian menjadi faktor penolak kepada aku untuk berusaha membaiki diri dari segala segi.

Dan usahaku sekarang bukan sekadar membaiki diri dari aspek pencapaian material. Yang penting sekali ialah membaiki diri untuk berjumpa dengan tuhan. Cukupkah amalanku? Cukupkah taubatku? Cukupkah segala kebaikan yang aku berikan kepada orang lain?

Benar, aku cuba melatih diri bahawa, kebanggaan dan keegoan adalah sesuatu yang tidak perlu aku pertahankan lagi. Biarpun apa dan bagaimana aku diperlakukan, yang penting adalah apa yang telah aku lakukan. Aku takkan boleh menghalang perlakuan orang kepada diriku tetapi aku boleh menghalang diriku dari memperlakukan yang tidak elok terhadap orang lain waima bersangka buruk sekalipun...

Aku, yang tak sempurna ini hanya berharap supaya aku tabah menghadapi apa jua rintangan dan cabaran kehidupan. Tabah mempertahankan janjiku bahawa, yang penting ialah apa yang aku lakukan. Melakukan yang terbaik setiap hari...

Kata kanda, takkan hilang bisa ular yang menjalar di akar. Dan takkan rendah diriku di mata tuhan andai dalam segala hal aku yang beralah dulu. Apatah lagi memulakan huluran kemaafan. Membuang ego bukanlah suatu kehinaan...kate kandaku!

Aku, Kak Long yang keras sedikit-sedikit sedang mencairkan hatinya...dan kanda adalah mentor utama! Oh, itu juga rezeki!

No comments: