Friday, March 25, 2011

TETAMU ALLAH



Sudah lebih dua minggu kembali dari Tanah Suci, menyambut jemputan sebagai tetamu Allah. Sekembali ke sini aku demam beberapa hari, diikuti kanda pula. Deman reda beberapa hari kemudian demam lagi. Kanda juga hampir pengsan kerana dehidrate setelah seminggu kembali ke sini. Urusan kerja di pejabat, urusan di rumah lagi sementelah anakanda yang bakal bersalin April ini sudah tinggal di rumah kami sejak sebulan lalu. Jadi aku tak sempat melihat diri sendiri, sehinggalah semalam.....aku lari sebentar ke seberang jalan, menyinggahkan diri di Spa Ledang waktu lunch...dan tubuh badan aku serahkan...lega....


Malam ini sudah bertemujanji dengan ciktiny, special dinner (dah kecur air liur membayangkan) dan esok aku akan berkemas sakan sebelum outstation Ahadnya, memandu sendirian ke Kuala Kurau, dan kemudian ke Ipoh....Selasa baru balik ke KL.


Perjalanan sebagai tetamu Allah, tak dapat aku ceritakan bagaimana perasaan aku. Terharu, keliru, terpinga-pinga, malahan pelbagai perasaan bermain di minda. Tambahan ini adalah ziarah pertama kali. Pengurusan masa yang kurang mahir kerana tiada pengalaman juga menjadi sebab agaknya kami berdua jatuh sakit bila kembali ke sini. Di sana, kami seperti mendapat kekuatan luar biasa. Berulang alik hotel ke masjid setiap kali waktu solat, dengan cuaca terik tak dihiraukan. Malahan berjalan beberapa kilometer sehari kerana menunaikan umrah dua kali dalam satu hari, masih...kekuatan Allah berikan, yang aku yakin kalau di Malaysia aku takkan larat berjalan sejauh itu. Dan kanda, tentulah kerana dia aku beroleh stamina begini. Mengikut staminanya yang sebelum ini tak terikut oleh aku. Maha suci Allah, dikurniakan kami segala kekuatan dan kesihatan untuk beribadah....Syukur Ya Allah.


Aku tahu, perjalanan kali ini belum sempurna. Malah aku ingin ke sana lagi. Perasaan di benakku sering mengatakan bahawa tidak cukup apa yang telah aku lakukan untuk beroleh keampunan dan redhamu Ya Allah. Dan hari-hari yang kulalui di sini kini lebih bermakna kerana aku sedar Kau sebenarnya sentiasa ada di mana-mana, Kau Maha Mendengar. Tak kira samada aku berdoa di sini atau di Multazam, atau di Hijir Ismail atau di Jabal Rahmah....tak kira di mana, selangkah aku kepadamu, beribu langkah Kau berlari kepadaku. Dan aku tahu, Kau sentiasa memerhati aku, hambamu ini yang sangat kecil, lebih kecil dari debu. Aku mohon Ya Allah, agar semua ahli keluargaku, sahabat-sahabatku dan umatmu yang tidak mampu dan tidak dapat sampai ke Tanah Haram sebagai tetamumu Ya Allah, Kau ampuni dan redhai juga mereka, kau makbulkan doa mereka kerana Engkau Ya Allah, Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Terima kasih Ya Allah di atas kuniamu menerima aku sebagai tetamu....