Saturday, August 6, 2011

Air tangan emak

Aku sangat ingat suatu masa emak saudaraku yang masih muda bertanya pada emak. Anak Kak Kiah pandai-pandai, Kak Kiah bagi makan apa? Jawab emak ikan kering...sambil berseloroh.




Entah kenapa hati aku hari ini rasa semacam, melankolik. Aku teringat juadah air tangan emak! Menulis ini pun air mata aku menitis...Ya Allah, rindunya aku pada emak!




Emak bukanlah seorang suri rumah sepenuh masa. Emak seorang petani yang turun ke bendang membanting tulang empat kerat membantu ayah. Waktu kecil dulu, aku masih ingat kadangkala aku akan ikut emak ke bendang, emak bekerja, aku berkubang! Waktu kerja emak sama waktu pejabat. Jam 8 pagi emak sudah berselut dalam sawah. Jam 12 atau jam 1 tengahari baru emak balik untuk masak tengahari, nanti usai solat zuhur, sekitar jam 2 petang emak pergi lagi. Lewat jam 5 atau 6 petang barulah emak balik bersama-sama ayah. Bayangkan betapa penatnya emak berselut, berpanas dan berhujan di bendang demi mengerjakan tanah untuk mencari rezeki buat kami adik beradik. Waktu itu arwah atuk masih sihat, jadi atuklah yang menjaga aku dan adik-adikku. Dan bila atuk mula jatuh sakit sekitar aku berumur 13 tahun, tugas menjaga adik-adik dan mengurus rumahtangga beralih ke bahuku tatkala emak ke bendang. Akulah yang menjaga adik-adik, mengemas rumah, memasak dan membasuh kain-baju. Itupun cuma ketika musim cuti sekolah!




Walau penat ke bendang, emak tidak pernah gagal menyediakan sarapan, makan tengahari dan makan malam untuk kami sekeluarga walaupun menunya barangkali hanya ikan kering yang divariasikan dengan pelbagai resipi masakan seperti masak lemak, masak asam, sambal tumis dan juga gulai. Malah ikan kering bakar! Ikan kering yang dibuat dari ikan sepat, ikan puyu dan juga ikan haruan disimpan dengan banyak sekali untuk musim sawah kering. Waktu ini iaitu waktu musim menuai, sawah kering kontang dan pada masa inilah kami tak akan dapat makan "ikan darat". Jadinya stok yang disimpan berbulan-bulan itulah yang akan jadi menu harian kami. Hampir setiap hari! Hanya jika ada duit extra sedikit barulah ayah akan ke pekan Kurau membeli ikan termenung atau ikan gelama. Sesekali dapatlah merasa udang kertas atau sotong cumit. Ayam dan daging? Hari raya atau pergi kenduri rumah orang sahajalah baru kami merasa.




Aku terkadang malu dengan diriku sendiri. Emak bekerja dengan tulang empat kerat, berpanas berhujan tapi tak pernah gagal memasak dan mengurus rumah tangga serta mendidik kami adik-beradik dengan sempurna. Malahan kesemua kami lapan beradik belajar mengaji Al-Quran dengan emak, dan kerja sekolah juga disiapkan dengan bantuan emak. Kain baju yang berbakul, khasnya baju berdaki kanak-kanak lelaki lasak emak basuh dengan tangan...Pernah aku terjaga jam 1 pagi hendak buang air kecil, aku terserempak emak sedang bertinggung menghadap sebesen besar baju. Ya Allah, emakku... Kau kurniakanlah syurga untuknya. Kerana khidmatnya terhadap suami, anak-anak dan ibubapa dan mertuanya....




Emakku, beribu tiri. Tapi khidmat baktinya kepada ibu tiri sangat aku kagumi. Walau pun jarak usia mereka sekitar 10 tahun sahaja.... Emak yang menjaga ibu tirinya saat dalam berpantang. Malah mereka silih berganti menjaga di antara satu sama lain kerana bersalin bergilir berselang tahun. Adik-adik emak, yang dilahirkan ibu tirinya dijaga bagai menjaga anak sendiri. Aku sendiri bila sudah melangkah alam sekolah, seingat aku 12 tahun...barulah tahu insan yang kupanggil atuk itu adalah ibu tiri emak! Tak pernah aku tahu yang emak beribu tiri kerana layanannya terhadap ibu tirinya seperti ibu kandung sendiri! Dan sampai hari ini atuk itulah atukku dunia akhirat!




Emak, apakah ada wanita lain dalam hidupku yang lebih layak untuk aku banggakan???




Emak, aku rindu air tangan emak!

4 comments:

ns said...

Kehidupan dan cara kita dibesarkan hampir sama. Dulu di kampung kami, selepas musim menuai padi, sawah yang kering tu dibajak lagi untuk tanaman tembakau pula. Begitulah kehidupan kami. Bernudi kepada tanah, tanaman padi & tembakau bergilir-gilir.

Kaktiny said...

Maka.. itulah dia Ibu!.
Malaikat dunia yg Allah ciptakan utk kita.. si anak!.

Untungnya kita, di usia ini masih punyai Ibu kan.. Alhamdulillah.. <3

Mrs.MH said...

Endless love kasih seorg ibu.. enjoy ur moments while ur mom still around..I miss my late mom.. Selamat berpuasa kak maizah!

Kak Long said...

ns > masa silam menentukan siapa kita hari ini. kan?

Tiny > bersyukur yang teramat sangat

Mas > hargailah semua orang sementara mereka masih ada.