Monday, October 3, 2011

Berdua

Bulan ini, Oktober, dengan rasminya bangah dan puan menantu akan pindah. Meskipun mereka sudah memindahkan barangan secara berperingkat sejak awal September lalu. Maka aku dan kanda dengan rasminya tinggal berdua. Sejak kahwin, kami tak pernah tinggal berduaan. Maklumlah aku kahwin dengan seorang bapa tunggal tiga anak. Dan selama tujuh tahun ini seorang demi seorang anak berkahwin dan berpindah. Boleh dikatakan anak yang baru berkahwin akan tinggal dengan kami dulu. Lepas dua tahun baru pindah....Jadi kesimpulannya kami tak pernah tinggal berduaan selama ini. Pun begitu hari minggu anak cucu masih bertandang...taklah sunyi sangat pun. Hari kerja rumah ni macam hotel. Balik rumah untuk dinner dan kemudian tidur...


Kanda sudahpun submit borang anak angkat. Oh bukan submit tapi borang tersebut diambil sendiri oleh Dato' SUPOL di pejabat kanda. Malah beliau berjanji kami akan diberi priority dan diberi peluang memilih sendiri anak angkat kami kelak. Kanda yang menyiapkan segala dokumen lampirannya, termasuk menaip surat iringan. Aku cuma sediakan dokumen aku jer...Bersungguh-sungguh benar kanda kali ini. Ya Allah, inikah saatnya??? Seperti lorong itu menjadi lurus dan terang untuk kami lalui....


Ya Allah, kau permudahkan segalanya bila tiba saatnya...aku bersyukur dan berserah kepadamu. Dan kanda, diapun turut teruja...kami bercakap mengenainya setiap hari sekarang...seperti satu topik wajib sebelum tidur...yang tak sengaja dibangkitkan. Kami mula fikirkan beberapa masalah yang harus kami hadapi bersama (bukan fikir yang seronok sahaja tau). Bila bersedia menerima komitmen baru maka dua-dua pihak mesti sedia berkorban. Contohnya kataku...garuan mungkin kurang sikit kot hahaha....


Insyaallah... mudah-mudahan menjadi kebaikan kepada kami bertiga!

Wednesday, September 28, 2011

Marah

Siapalah yang tak pernah marah. Siapalah yang tak pernah kena marah. Kedua-duanya membuat hati sakit dan menggugat ketenangan jiwa, mengganggu minda dan akhirnya sumpah seranah meletus dari dalam hati, dan kalau tak dikawal lidah akan menyatakannya. Kesannya? Astaghfirullah...



Inilah ujian yang paling banyak orang gagal mengatasinya. Mula dengan marah, kemudian sakit hati dan membawa pada dendam pula. Begitulah punca asal usulnya peperangan antara manusia.



Bagi aku, rasa yang aku tanggung sekarang adalah ujian nafsu amarah yang sedikit sahaja. Pun sukar untuk dilupuskan...Mood mandom dah tiga hari. Dan barangkali akan berlarut beberapa hari...entah. Puas aku bermuhasabah .......ini kejadian yang wajar barangkali..satu, supaya aku menjadi orang yang zero defect. Dua, jangan terlalu gembira dan bangga dengan kedudukan zon selesa dan tiga, jangan percaya dan terlalu menyanjung seseorang sehingga mengenepikan pandangan orang lain kerana mungkin Allah belum tunjukkan sisi hitamnya kepadaku. Dan tatkala aku melaluinya barulah aku sedar kenapa orang lain berpandangan begitu. kadangkala aku akui aku terlalu membela dirinya dan mungkin ada sedikit angkuh bila mempertahankan hujahku bahawa dia bukan seperti yang mereka katakan! Padan muka aku..



Terima kasih Ya Allah, pengajaran yang sangat berharga....menjadikan aku rasa rendah diri, menjadikan aku lebih berhati-hati dan yang penting selepas ini aku tidak akan mudah menyokong dan mempercayai setiap perbuatannya. Aku perlu kaji dulu bagaimana sikapnya terhadap orang lain....dan bukan menyokong dirinya dan turut menyalahkan orang lain.



Banyak yang aku belajar dari ujian ini. Banyak sungguh. Kalau kejadian ini tak berlaku pasti aku pun akan lagha dan gembira saja...Allah beri ujian, itu juga sebagai kifarah buatku. Ya Allah ampunkanlah dosa-dosaku...

Friday, September 23, 2011

Anak Angkat

Sudah acapkali kanda membicarakan soal ini kepadaku. Walaupun suatu masa dulu akulah yang memulakan bicara ini, tapi lantaran kesibukan urusan dunia dan juga hal anak dan cucu, maka aku sudah leka dengan kehidupan yang aku sangka "milik aku selamanya". Ya Allah sedangkan diri sendiri pun milik Allah, kita hanya hamba yang dituntut taat dan berserah kepadaNya. Inikan pula berangan-angan hendak menumpang bahagia orang lain dihari tua kelak...



Aku positif. Aku mahu bersama mereka dan di masa depan aku ingin menumpang bahagia mereka. Dan lama aku lupa soal itu. Malah malas membicarakannya meskipun emak sudah lama mendesak. Malah sibuk menanyakan anak orang lain untukku. Mak...mak...kasihan mak kerana kasihankan aku. Dan aku pula leka dengan keselesaan dunia hingga mengabaikan perkara ini. Salahkah aku?



Namun kebelakangan ini kanda mula membicarakan hasratnya supaya kami mengambil anak angkat. Ada banyak sebab sebenarnya kenapa dia tiba-tiba berubah fikiran. Kata kanda jangan mengharap pada yang tak pasti....Dan paling utama jangan harapkan anak-anaknya untuk bersama aku di hari tua kelak. Jangan mengharap pada mereka sama sekali. Berulang kali kanda menekankan perkara ini kepadaku. Kata kanda tugasku adalah memberi, maka berilah sebanyak mana kasih sayang yang aku mampu tapi jangan mengharap balasan dari mereka. Dan untuk diriku sendiri, kata kanda ambillah seorang anak angkat buat peneman dan tempat mencurah kasih sayang. Insyaallah....dialah temanku di hari tua kelak.



Meskipun tak berapa pasti dengan diriku sendiripun, tapi aku yakin keikhlasan kanda atas permintaannya ini. Dan aku yakin ada sebab kenapa tiba-tiba perkara ini menjadi suatu bicapa penting dan serius antara kami. Malah kanda secara serius menyediakan dokumen peribadinya, berjumpa doktor dan juga menghubungi seorang sahabatnya yang merupakan seorang Setiausaha Politik kepada Menteri yang bertanggungjawab terhadap Jabatan Kebajikan Masyarakat. Kanda memang seriuslah!



Ya, Allah...aku selalu memujuk hatiku sendiri bahawa masa hadapanku adalah milik Allah. Meskipun anak-anak dan cucu-cucu kanda kini masih sudi bersamaku tapi masa hadapan tak tahu lagi. Andai pada usia tua kelak aku bersendirian, aku pun tidak takut kerana Allah ada untuk menjaga aku. Dan aku berusaha bersangka baik sentiasa kerana itulah yang dituntut oleh Allah swt. Positif selalu!



Tapi kemudian aku berfikir semula betul ke pemikiran aku ini. Ke sekadar memujuk hati yang adakala grafnya pun tidak menentu? Bolehkah memujuk hati dan berserah pada Allah sahaja tanpa berusaha?



Usaha? Sudah kami usahakan sehinggalah pada satu tahap kami mendapat suatu keputusan yang membuat kami berhenti seketika. Mungkin sebab itulah juga kanda menyarankan kami mengambil anak angkat. Dan aku tidak sekali berputus asa. Aku masih mengharapkan keajaipan akan berlaku dan aku tahu Allah maha mengetahui apa yang terbaik untuk kami. Jika Dia ingin beri, akan diberi bila sampai masanya akan "keajaipan itu". Jika tidak, mungkin sudah ditakdirkan bahawa kami bakal menimang anak angkat dan rezeki anak itu untuk membesar ditangan kami. Hanya Allah yang maha mengetahui...

Monday, September 19, 2011

Selembut hatimu

Satu proses yang bukan mudah, perlukan kesabaran dan ketabahan. Membujuk dan berdoa, tawakal kepada Allah. Dan kini hatiku diusik shahdu. Benarlah janjimu Ya Allah, pada mereka yang berusaha dan tak putus asa untuk meraih rahmat dan redhamu...


Hari ini, kami bangun sahur bersama. Pertama kali buat kanda!


Selembut hatimu, setulus kasihmu dan aku tahu dan yakin ia adalah kerana cintamu padaNYA...Allahuakbar!


Dan hari ini menyemak emel, ada perkhabaran gembira, apakah dapat kugapai cita-cita ini? Ya Allah permudahkanlah urusanku....

Monday, September 12, 2011

Reunion


Semalam kami berkumpul lagi setelah sekian lama tak berkumpul, sekadar telefon dan FB platform berhubung. Kali terakhir kami berkumpul 5 tahun dulu, waktu itu Sikin dalam pantang anak ke3, Siti masih berdua dan aku juga sama. Semalam, baby Sikin yang ketiga sudah 5 tahun, Siti kini bersendirian semula dan aku pula kekal berdua. Begitu pantas masa berlalu dan alangkah ruginya setiap masa yang terlepas itu jika tidak dimanfaatkan dengan perkara yang baik dan berfaedah. Esok, lusa dan tahun-tahun berikutnya entah bagaimana rupa kehidupan kami. Apa pun aku mendoakan yang terbaik untuk kami semua, semoga kami semua berbahagia tak kira bagaimana rupa kehidupan kami pada masa hadapan....owh! ada satu uban di dahi aku...alamak, apakah???

Friday, September 9, 2011

Kenapa aku berada di sini

Semasa sarapan pagi ini, kami bersembang tentang kenapa kita berada di sini. Dia menceritakan tentang ramai rakan-rakannya semasa di universiti hairan apabila dia memilih untuk berkhidmat dengan kerajaan. Knowing her as "who she is", memanglah dia patut berada dalam firma dan mungkin dah jadi salah seorang peguam yang hebat sealiran dengan Karpal Singh pada ketika ini. Katanya ada tanggapan diberi kepadanya dengan statement yang agak negatif ....."ohh you must be trying to avoid stress. Anyway...working with private sector is very stressful..." What kinda???


So, working with government is more relax? (Ye ke??)

Cepat aje aku menjawab, aku tak setuju...kerja sangat banyak kalau nak buat kerja...orang yang relax dan tak stress tu mungkin tak buat kerja! Kalau ada orang beri pandangan skeptikal tentang pegawai kerajaan yang malas dan lembab...aku pun tak salahkan orang tu kerana memang perangai sebilangan pegawai kerajaan ini telah memburukkan seluruh sistem...akibatnya orang awam melibat perkhidmatan jabatan kerajaan ini memang lembab dan pegawainya malas!


Kataku lagi...kalau ada orang mengata macam tu kat aku, aku tentu akan menjawab, you mungkin telah berurusan dengan orang yang salah, jadi you buat persepsi secara menyeluruh. Sedangkan jika you berurusan dengan pegawai yang cekap...you akan impressed!


So, she told me her answer to her friends that she has good intention...to do the changes on what "they feel unhappy about government agency's services". So that public will appreciate us...our services! That is my intention from the beginning....katenyer..


Me too, I want to change people's perception towards government services. I want to make them happy dealing with government agencies. But because I'm a "small" person and nobody will listen to my idea, so I've started the changes within my room, on my table! With the peoples I'm dealing with!


I know I cannot change the whole system, and change my organization! But I believed a good intention will give good return. May Allah bless me, and I'll get HIS redha...that's all I wanted. So, I'm happy...enough???


And yes, I've heard people commented on me before, they impressed and never thought that our agency has such good officers...and the proof is... they're still looking for me to get my advice even though I' not incharge that "territory" anymore.


Aku harap grammar aku betui kui kui kui...pasal kena komen dengan bos aku so I need an exercise.


You need to improve...for your own good...betul aku setuju...


Itulah sebab kenapa aku berada di sini...memperbaiki diri, memperbaiki kerja, memperbaiki sistem, memperbaiki organisasi! Boleh ke??? Insyaallah.


Semalam bos aku tanya, why do you choose to work here? belum sempat aku jawab, dia sendiri jawab...sudah takdirlah, kalau tidak kita pun takkan jumpa! hahaha...Setiap titik dalam kehidupan, ada pertemuan, dan setiap pertemuan ada "makna". Bukan saja-saja Allah nak create sesesuatu pertemuankan?


So satu lagi jawapan...aku berada di sini sebab kat sinilah kami kenal dan mesra! Masa depan tak tau berapa ramai lagi yang aku akan jumpa dan berapa banyak lagi hubungan akan terbina. Hanya Allah yang maha mengetahui segala sesuatu...


"makna" - hubungan itu adalah satu pembelajaran dalam kehidupan. Mungkin in future orang tu akan tolong kita, akan mengajar kita, atau kita mengajar dia, menolong dia, what ever it is bersangka baiklah dengan setiap pertemuan....dan bersangka baiklah dengan Allah!


dan cerita ini mengingatkan aku tentang pandangan sahabat aku suatu masa dulu...Orang macam aku memang sudah dipilih untuk berkhidmat dengan kerajaan. Walaupun aku boleh pergi lebih jauh jika bekhidmat dalam sektor korporat tapi kehadiran aku dalam sistem ini sudah ditentukan Allah s.w.t. dan pasti ada hikmahnya.

Thursday, September 8, 2011

Syawal

Syawal sudah 8 hari berlalu. Aku pula sudah mula sibuk dengan amanah harian yang tak pernah usai. Hari-hari kulalui dengan semangat untuk memberi yang terbaik kepada semua. Diri aku sendiri tak banyak perkembangan terbaru. Semakin relax (matang kata kanda) dan tentulah makin sayang kat aku kan. Alhamdulillah, terima kasih Allah kerana anugerah kasih sayang ini. Terima kasih atas segala anugerahmu. Terima kasih juga di atas segala ujianmu...yang pernuh berhikmah. Syukur Alhamdulillah....Moga akan ada Ramadan lagi untukku, dan ada Syawal lagi untukku kelak.....

Ramadan yang Indah,
Syawal yang meriah,
Syukur Ya Allah!!!

Tuesday, August 23, 2011

Yang Aku Cintai

Kanda...



Setiap kali menatap wajahnya kasih sayangku melimpah ruah. Terasa ingin aku berikan seluruh hidupku ini terhadapnya. Pun aku kadangkala diburu serba salah dan rasa ragu bisikan syaitan. Benar-benarkah aku ikhlas menyintai dan menyayanginya. Tulinkah perasaanku ini? Mampukah aku berbakti kepadanya sehingga ke akhir usia kanda, atau sehingga ke akhir hayatku sendiri???


Siapalah sangka sudah lebih 7 tahun kami bersama. Tapi sehingga ke hari ini aku masih merasakan seolah kami masih baru bercinta. Kami baru berjumpa. Rasa itu masih terasa sangat segar.


Bahagia benarkah kami? Apakah kami tidak pernah teruji? Tipulah kalau kami tak pernah diuji. Malah ujian besar juga telah acapkali kami tempuhi. Dan membina hubungan itu patut bemula dari 0 kemudian meningkat dan meningkat seumpama kita mendaki puncak gunung yang tinggi....semakin didaki, semakin tinggi. Dalam proses pendakian itu adakalahnya kita akan tergelincir, kita akan cedera, kita akan tersesat arah dan kita kepenatan seakan mahu berputus asa. Kita rasa seperti ingin berpatah balik juga ada!


Kanda, belajar menyintainya seperti suatu eksplorasi yang penuh kejutan dan mengujakan, adakala memenatkan. Aku sebenarnya bukan semakin mengenali dirinya semata, tapi aku lebih-lebih lagi telah dapat mengenali diriku sendiri! Aku lebih-lebih lagi menyintai tuhan!


Manusia berubah seiring dengan perjalanan masa. Hendak mengubah orang yang kita cinta bukanlah boleh dalam sekelip mata. Kadangkala aku jua tertanya banyak sungguh doaku yang telah Allah makbulkan, termasuklah doa melihat kanda berubah, menjadi hamba yang bertakwa dan menjadi murabbi kepada aku isteri yang dilindunginya. Tapi doa yang satu itu, kenapa tidak dimakbulkan sehingga kini? Aku redha dan berusaha melihat banyak hikmahnya...



Kanda, kini menyaksikan dirinya yang tidak pernah gagal walau seharipun bangun sepertiga malam sujud padaMu Ya Allah...sungguh betapa banyak kasih dan rahmatMu kepada kami Ya Allah...Aku akur, bahawa hanya kepadaMu aku bermohon dan berserah...kerana Engkaulah yang lebih mengetahui segala sesuatu, termasuklah segala keperluanku melebihi daripada diriku sendiri.....


Ya Allah, lindungilah dan rahmatilah insan-insan yang aku cintai di dunia ini dan permudahkanlah kehidupan kami memacu hidup menuju ke syurgaMu yang abadi...Ameen Ya Rabbal Alamin...

Monday, August 22, 2011

Menangislah

Sepuluh malam terakhir......seakan tidak cukup tempoh masa yang dikurniakan. Seakan tidak puas mengecap rahmatNya. Seakan sedikit sangat ibadahku bagi mencuci dosa dan memperolehi redhaNya.




Entah kenapa, malam tadi saat rakaat terakhir solat witir, hati aku diserbu perasaan pilu. Mengenang diri yang adakala berdukacita lantaran rasa tidak cukup. Malu sungguh rasanya. Aku, hamba yang lemah iman, yang sedikit amat ibadahnya sedang berusaha membina takwa, kadangkala goyah dengan godaan dunia, kadangkala memikir perkara yang tidak sepatutnya...




Dan air mataku bercucuran kerana sungguh aku takutkan tuhan. Aku takut dan aku malu untuk menghadapMu sedangkan hatiku pun belum mampu aku sucikan 100%. Ya Allah perkukuhkanlah kecintaanku terhadapmu setiap hari biar tak pernah padam, biar melimpah ruah dalam hatiku akan rasa cintaku terhadapMu...




Cintaku padaMu yang menjadikan aku tidak takut apa-apa lagi. Cintaku padaMu yang menjadikan aku insan yang berbahagia di dunia ini menuju ke alammu yang abadi....terimalah cintaku, terimalah aku!

Tuesday, August 16, 2011

CINTA RAMADAN INI

Ramadan ini CINTA kami semakin kukuh dan semakin berseri...segala-galanya menjadi begitu indah dan membahagiakan. Ibadah yang dilakukan bersama-sama sungguh menyeronokkan. Tidak bergaduhkah lagi kami? Oh silaplah kalau tak bergaduh bukan namanya Kak Long dan Bang Long. Tapi segala yang kami argue tak lebih sekadar berbalah atau tak sependapat tentang sesuatu isu. Ianya just on that event. Lepas tu kita boleh bercinta balik macam biasa. Takde kecil hati atau rajuk berpanjangan. Except for kanda yang memang ngada-ngada suka merajuk sebab nak aku pujuk!






Ya Allah, benarlah. Dengan menyintaimu, maka CINTA sesama manusia akan menjadi lebih bermakna. CINTA padamu Ya Allah membuatkan CINTA kami bermatlamatkan mencari redha semata-mata. Dan kami sungguh bahagia Ya Allah...






CINTA. Entahlah kalau orang bercakap tentang CINTA monyet, atau CINTA pandang pertama, atau CINTA sejati or what so ever. Semua tu pernah aku andaikan dulu.... Tapi kini bagi ku CINTA itu akan menjadi lebih mantap setelah teruji. Malah apa juga epilog duka serta musibah yang melanda semuanya berhikmah. Termasuklah jika kita melakukan kesilapan, ianya bertujuan supaya kita belajar serta lebih menghayati pemberian Allah s.w.t.






CINTA itu rahmat serta kasih Allah. Tapi cinta juga ujian. CINTA sepatutnya dapat membawa kita ke syurga. CINTA buat kita rasa ingin banyak memberi daripada menerima. CINTA buat kita rela melepaskan apa jua demi memberi bahagia.






dan CINTA, jangan sampai menyesatkan dan diperhambakan olehnya, jangan sampai buat kita rasa mahu memiliki semua, jangan sampai kita rasa CINTA itulah segala-galanya seperti tiada Allah bersama-sama kita. Jangan takut kehilangan cinta kerana CINTA Allah sentiasa ada...






CINTA boleh datang dan pergi dengan izin Allah. Berdoalah agar CINTA kita dirahmati, kekal sampai ke syurga...Insyaallah.




CINTA RAMADAN INI ANUGERAH ILAHI YANG TAK TERPERI!

Saturday, August 6, 2011

Air tangan emak

Aku sangat ingat suatu masa emak saudaraku yang masih muda bertanya pada emak. Anak Kak Kiah pandai-pandai, Kak Kiah bagi makan apa? Jawab emak ikan kering...sambil berseloroh.




Entah kenapa hati aku hari ini rasa semacam, melankolik. Aku teringat juadah air tangan emak! Menulis ini pun air mata aku menitis...Ya Allah, rindunya aku pada emak!




Emak bukanlah seorang suri rumah sepenuh masa. Emak seorang petani yang turun ke bendang membanting tulang empat kerat membantu ayah. Waktu kecil dulu, aku masih ingat kadangkala aku akan ikut emak ke bendang, emak bekerja, aku berkubang! Waktu kerja emak sama waktu pejabat. Jam 8 pagi emak sudah berselut dalam sawah. Jam 12 atau jam 1 tengahari baru emak balik untuk masak tengahari, nanti usai solat zuhur, sekitar jam 2 petang emak pergi lagi. Lewat jam 5 atau 6 petang barulah emak balik bersama-sama ayah. Bayangkan betapa penatnya emak berselut, berpanas dan berhujan di bendang demi mengerjakan tanah untuk mencari rezeki buat kami adik beradik. Waktu itu arwah atuk masih sihat, jadi atuklah yang menjaga aku dan adik-adikku. Dan bila atuk mula jatuh sakit sekitar aku berumur 13 tahun, tugas menjaga adik-adik dan mengurus rumahtangga beralih ke bahuku tatkala emak ke bendang. Akulah yang menjaga adik-adik, mengemas rumah, memasak dan membasuh kain-baju. Itupun cuma ketika musim cuti sekolah!




Walau penat ke bendang, emak tidak pernah gagal menyediakan sarapan, makan tengahari dan makan malam untuk kami sekeluarga walaupun menunya barangkali hanya ikan kering yang divariasikan dengan pelbagai resipi masakan seperti masak lemak, masak asam, sambal tumis dan juga gulai. Malah ikan kering bakar! Ikan kering yang dibuat dari ikan sepat, ikan puyu dan juga ikan haruan disimpan dengan banyak sekali untuk musim sawah kering. Waktu ini iaitu waktu musim menuai, sawah kering kontang dan pada masa inilah kami tak akan dapat makan "ikan darat". Jadinya stok yang disimpan berbulan-bulan itulah yang akan jadi menu harian kami. Hampir setiap hari! Hanya jika ada duit extra sedikit barulah ayah akan ke pekan Kurau membeli ikan termenung atau ikan gelama. Sesekali dapatlah merasa udang kertas atau sotong cumit. Ayam dan daging? Hari raya atau pergi kenduri rumah orang sahajalah baru kami merasa.




Aku terkadang malu dengan diriku sendiri. Emak bekerja dengan tulang empat kerat, berpanas berhujan tapi tak pernah gagal memasak dan mengurus rumah tangga serta mendidik kami adik-beradik dengan sempurna. Malahan kesemua kami lapan beradik belajar mengaji Al-Quran dengan emak, dan kerja sekolah juga disiapkan dengan bantuan emak. Kain baju yang berbakul, khasnya baju berdaki kanak-kanak lelaki lasak emak basuh dengan tangan...Pernah aku terjaga jam 1 pagi hendak buang air kecil, aku terserempak emak sedang bertinggung menghadap sebesen besar baju. Ya Allah, emakku... Kau kurniakanlah syurga untuknya. Kerana khidmatnya terhadap suami, anak-anak dan ibubapa dan mertuanya....




Emakku, beribu tiri. Tapi khidmat baktinya kepada ibu tiri sangat aku kagumi. Walau pun jarak usia mereka sekitar 10 tahun sahaja.... Emak yang menjaga ibu tirinya saat dalam berpantang. Malah mereka silih berganti menjaga di antara satu sama lain kerana bersalin bergilir berselang tahun. Adik-adik emak, yang dilahirkan ibu tirinya dijaga bagai menjaga anak sendiri. Aku sendiri bila sudah melangkah alam sekolah, seingat aku 12 tahun...barulah tahu insan yang kupanggil atuk itu adalah ibu tiri emak! Tak pernah aku tahu yang emak beribu tiri kerana layanannya terhadap ibu tirinya seperti ibu kandung sendiri! Dan sampai hari ini atuk itulah atukku dunia akhirat!




Emak, apakah ada wanita lain dalam hidupku yang lebih layak untuk aku banggakan???




Emak, aku rindu air tangan emak!

Friday, August 5, 2011

Wahai hati-hati yang lara

Wahai hati-hati yang lara. Entah kenapa ingin sekali saya katakan ini kepada kamu. Barangkali kamu sedang dirahmati. Barangkali Allah s.w.t sedang menunjukkan jalan kepada kamu. Barangkali Dia sedang menunjukkan tanda-tanda untuk kamu membuat keputusan. Istikharahlah...


Wahai hati-hati yang lara. Apakah kamu masih dilema dalam memilih keputusan yang terbaik? Apakah kamu masih dilema untuk memilih keutamaan dalam hidup kamu? Jalannya mudah sahaja, utamakan hubungan kamu dengan Tuhanmu. Utamakan hubungan kamu dengan Tuhanmu terlebih dahulu dan kemudian segala-galanya akan menjadi baik, Insyaallah. Bersangka baiklah dengan Allah dan senantiasalah memikirkan hikmah....



Wahai hati-hati yang lara, berbaloikah kita berduka dan takut dengan dunia berbanding alam selepas nyawa kita diambil olehNya. Kenapakah kita takut dengan keberterusan hidup di dunia ini sedangkan kita tahu Allah itu ada begitu hampir denganmu. Sedekat urat pada lehermu....


"Dan sesungguhnya KAMI telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, dan KAMI lebih dekat kepadanya dari pada urat lehernya." ( Surah Qaaf ayat 16 )


Yakinlah dengan langkahmu. Selangkah kamu hampir kepadanya beribu langkah Allah akan berlari kepadamu....Betapalah kamu dicintaiNya...Betapalah kamu dicintainya.......tapi berapa banyakkah pula kamu membalas balik cinta Tuhanmu...Nilailah hatimu yang lara itu, berbaloikah berduka-lara untuk cinta manusia yang bersifat sementara ini???


Wahai hati-hati yang lara, yakinlah dengan pilihanmu, dan pilihanmu itu adalah jihadmu demi mencapai redha Allah. Berhenti takut akan dunia kerana dunia ini mungkin juga bisa menghantarmu ke pintu neraka. Alihkan hatimu, alihkan niatmu...teruskan langkahmu dengan yakin. Katakan bahawa Allah ada bersamaku, aku tidak takut apa-apa lagi.



Wahai hati-hati yang lara. Aku tidak pandai menasihat tetapi inilah cara aku memujuk hatiku sendiri tatkala aku diuji. Aku hanya memberi jalan...tetapi terpulanglah kamu memilih jalan apa yang kamu mahu. Kerana kebahagiaanmu terletak di dalam genggamanmu sendiri...


Bersediakan kamu merubah dirimu??? Kenapa perlu bertangguh esok? Andai ini Ramadanmu yang terakhir bagaimana???

Thursday, August 4, 2011

REZEKI

Ujian itu juga merupakan rezeki pada kita. Tanpa kita sedar rupa-rupanya kerana ujian itulah maka kita telah mencapai sesuatu dalam hidup kita. Kerana satu ujian dalam hidup kita, telah merubah diri kita menjadi lebih berjaya dari sebelum ini. Malah ujian tersebut juga telah mengkayakan karakter kita.

Aku, tanpa sedar kerana banyak ujian sejak kecil, sejak alam sekolah telah menjadikan diri aku seperti hari ini. Pencapaian aku dalam hidup adalah kerana aku diuji. Ujian menjadi faktor penolak kepada aku untuk berusaha membaiki diri dari segala segi.

Dan usahaku sekarang bukan sekadar membaiki diri dari aspek pencapaian material. Yang penting sekali ialah membaiki diri untuk berjumpa dengan tuhan. Cukupkah amalanku? Cukupkah taubatku? Cukupkah segala kebaikan yang aku berikan kepada orang lain?

Benar, aku cuba melatih diri bahawa, kebanggaan dan keegoan adalah sesuatu yang tidak perlu aku pertahankan lagi. Biarpun apa dan bagaimana aku diperlakukan, yang penting adalah apa yang telah aku lakukan. Aku takkan boleh menghalang perlakuan orang kepada diriku tetapi aku boleh menghalang diriku dari memperlakukan yang tidak elok terhadap orang lain waima bersangka buruk sekalipun...

Aku, yang tak sempurna ini hanya berharap supaya aku tabah menghadapi apa jua rintangan dan cabaran kehidupan. Tabah mempertahankan janjiku bahawa, yang penting ialah apa yang aku lakukan. Melakukan yang terbaik setiap hari...

Kata kanda, takkan hilang bisa ular yang menjalar di akar. Dan takkan rendah diriku di mata tuhan andai dalam segala hal aku yang beralah dulu. Apatah lagi memulakan huluran kemaafan. Membuang ego bukanlah suatu kehinaan...kate kandaku!

Aku, Kak Long yang keras sedikit-sedikit sedang mencairkan hatinya...dan kanda adalah mentor utama! Oh, itu juga rezeki!

Monday, August 1, 2011

Ramadan kali ini

Ramadan tiba, hati berbunga ria. Segala gundah berlalu pergi. Yang tinggal perasaan tulus suci. Pergilah amarah, pergilah benci, pergilah sakit hati. Pergilah....




Ramadan kali ini, tiada apa yang kupinta, melainkan redhamu Ya Allah. Terimalah setiap ibadahku, ampunkan dosaku dan makbulkanlah doaku. Amin Ya Rabbal Alamin...




Buat kanda tersayang, moga Ramadan ini memantapkan lagi kasih sayang antara kita dan memacu kita ke syurga...

Monday, July 25, 2011

Yang Aku Mahu

Kalau ditanya ketika ini apa perasaan aku. Pastilah aku sangat ingin tahu, di manakah silapku? Apakah kekurangan aku. Masyaallah......kenapa dengan aku ini???




Dalam masa yang sama aku bertanya diriku sendiri, apa yang sebenarnya aku mahu? Ohh banyak sekali. Barangkali kalau boleh seluruh isi dunia ini ingin aku pinta untuk memenuhi nafsuku. Ya, kita manusia yang serba lemah, rasanya semua yang kita dapat tak akan pernah menyempurnakan hidup kita. Semua serba tak cukup!




Aku, kalau ditanya apakah sebabnya mahukan kedudukan itu. Jawapannya hanya satu. Demi Allah, aku jujur dengan jawapan ini. Iaitu kebanggaan diri. Kerana aku tak ada sebab lain buat masa ini. Semua sudah cukup Allah beri. Kalau dari segi material..... Tapi dengan segera aku bermuhasabah diri. Yang aku mahu ialah hati yang bahagia...itu sahaja. Aku mahu redha Allah. Bilamana hati bahagia semua jadi sempurna! Insyaallah!




Ujian, satu lagi ujian mengunjungiku ketika ini. Iaitu ujian keikhlasan. Ya Allah, kau sedang mengujiku dengan ujian keikhlasan. Ujian kecil....yang pasti sangat mencabar buatku. Kalaulah ujian ini pun aku gagal, kalaulah ujian sekecil ini pun buat aku berkira dan menyesal...maka mana lagi bahagian pahala yang dapat aku kaut ketika ini? Mana???




Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim...tetapkanlah niatku, kuatkanlah azamku, untuk terus berbuat yang terbaik kepada sesiapa pun....meski kebaikanku tak dilihat, tak dinilai dan tak dihargai. Rendahkanlah hatiku supaya aku tidak marah dan sakit hati kepada mereka yang menghampakanku. Jauhkanlah aku dari sesalan di atas segala yang pernah aku berikan. Ya Allah, aku ini hamba yang lemah...hamba yang daif dari segala segi, maka aku pohon kau berikanlah segala kebaikanmu kepadaku.....




Aku, sedang mendidik hati agar tidak kecil hati kepada manusia yang ego dan sombong kepadaku...Ya Allah bukakanlah pintu hati mereka....

Sunday, July 24, 2011

Pemberian, Ganjaran dan Anugerah

Sebaik-baik pemberian ialah barang yang paling kamu sayang. Berapa banyak dari kita sanggup memberikan barang yang paling kita sayang kepada orang lain???





Dan bagaimana jika barang yang kita beri itu yang kita sedikit sayang (bukan yang paling disayangi). Jawapannya, jangan kecewa jika ganjaran yang kita perolehi pun ganjaran yang sedikit juga....





Benar, setiap yang kita lakukan hanya Allah sahaja yang tahu sejauhmana ikhlasnya. Dan setiap pemberianNya juga hanya Dia yang lebih mengetahui sebanyak mana kita memerlukannya...dan hari ini aku dapat satu lagi konklusi tentang hidup ini. Yela jenis suka fikir banyakkan....





Aku ingat lagi suatu masa apabila sahabatku mengatakan yang dia cemburu akan 4.00 flat yang aku perolehi, dan betapa sedihnya dia tak dapat memperolehi result yang sama memandangkan kami sama-sama belajar dan berjuang. Lama kemudian dia berfikir semula, dia cuba meletakkan dirinya di dalam kasutku, kalaulah boleh ditukarkan 4.00 flat itu dengan kebahagiaannya yang mempunyai 2 anak comel, aku pasti mahu. Ambillah 4.00 flat ini, sanggup aku tukarkan. Dia mula berfikir bahawa dirinya juga telah menerima banyak pemberian dalam kehidupan ini. Untuk apa cemburu pada pencapaian orang lain. Sahabatku, ingatkah akan ceritera antara kita ini di suatu waktu dahulu? Demikianlah yang sewajarnya kita menerima akan aturan hidup ini. Berusaha, bertawakal, redha dan bersyukur...





Aku gembira dengan kejayaannya. Sungguh. Walaupun pada asalnya aku juga mempersoalkan kenapa dia yang super junior, pengalaman kerja setahun jagung kata orang, malah sangat muda untuk mendapat jawatan itu. Tapi akhirnya aku akur akan rahmat Allah kepada setiap dari kita semua. Aku tahu dia tertekan kerana dikritik. Dia sendiri tak percaya akan kejayaannya itu, dan ramai orang mempersoalkan. Sepatutnya kita gembira dengan pencapaiannya. Sepatutnya kita gembira dengan kejayaan rakan-rakan kita. Dan dengan itu kita pun akan bahagia. Aku percaya bahawa kalaulah dia dapat menukarkan pangkat yang dia perolehi itu dengan kesempurnaan tubuh badan yang aku ada ini, aku pasti dia akan begging untuk itu. Kepada orang-orang yang cemburu dan tak sudah-sudah tidak puas hati itu aku hanya ingin tanya satu soalan, kalian mahu tukarkan tubuh badan kalian yang sempurna itu dengan jawatan yang diberi padanya??? Mahu??? Kalian mahu jadi OKU??? Mahu???

"Maka nikmat tuhanmu yang mana lagikah yang kamu dustakan..."

Tuesday, July 19, 2011

If all malays work like you...

Aku bekerja untuk meneruskan kehidupanku.

Aku bekerja kerana mendapat izin suamiku.

Aku bekerja untuk menjadi compliment kepada suamiku

Aku bekerja untuk kepuasan diriku sendiri dan bukan to satisfy others!


DAN YANG PALING UTAMA SEKALI

AKU BEKERJA KERANA INI JIHADKU, INI KEBOLEHANKU, INI BAKATKU YANG ALLAH S.W.T. ANUGERAHKAN KEPADAKU. AKU GEMBIRA BILA BEKERJA DAN DAPAT MENGHASILKAN RESULT YANG BAIK. IA UMPAMA TERAPI KEPADA DIRIKU SENDIRI. I FEEL ALIVE!


Semalam...


"if every malays work like him..and like you (perlahan-mungkin tak plan nak cakap atau tak sengaja tercakap) then everythings will be ok (good)" dan aku terkasima...


Mungkin betul telahanku, bangsa ini memang tak mudah percaya pada bangsaku, mereka ada persepsi yang kurang baik tentang attitude bekerja orang melayu! Sekurang-kurangnya aku dapat membuktikan bukan semua melayu seperti yang dia fikirkan!


Sepanjang perjalanan balik masih terngiang kata-kata itu. Benarlah, bekerja untuk mencari redha Allah, buatlah yang terbaik setiap hari. Yang lain akan datang kemudian, dengan sendirinya! Rezeki, anugerah dan jugak ujian! Tiba-tiba aku tersebut nama sifu-sifu aku yang terdahulu..all my lady bosses.


Dan benarlah, kalau dengan sepuluh orang kita berguru, maka secara tak langsung 10 orang itu akan memindahkan kepada kita jika tak banyak pun tapi sikit, karakter mereka ke dalam diri kita (baik waima buruk!). Dan aku bersyukur aku telah ditemukan dengan guru-guru yang banyak mengajar aku dan menjadikan aku seperti hari ini.


Alhamdulillah, mudah-mudahan niat aku tak tersasar dan aku tak akan mudah lupa...Mimpi sehari dua ini buat aku suspen! Entah apa tandanya, tapi itulah mainan tidur barangkali.

Tuesday, July 12, 2011

Sahabat

Rahmat Allah itu terlalu besar sampai aku tak terkata-kata betapa aku terlalu beruntung. Pada hari ini aku punya sahabat yang aku bisa berkongsi suka duka...Subhanallah, besar sungguh rahmat pertemuan. Meski kami pernah bertelingkah tetapi pertelingkahan itu menjadikan kami semakin akrab dan semakin memahami sesama sendiri. Hari ini kami bisa merencana kehidupan dengan berprasangka baik kepada Allah s.w.t. Kami yakin di setiap usaha kami , ada sesuatu yang telah Allah janjikan. Di samping ujian-ujian yang kami tempuhi dan bakal kami hadapi...kami percaya sesungguhnya janji Allah itu adalah benar.




Sahabat, terima kasih kerana sudi mendengar, sudi ketawa dan sudi menangis bersamaku...Aku sayang padamu Lillahita'ala...

Sunday, July 10, 2011

Perjuanganku

Berjaya juga aku menyiapkannya. Dalam damai, dalam tenang dan dalam keadaan yang aku percaya telah Allah aturkan untuk aku. Aku masih ingat suatu masa aku dan Tiny pernah bercerita tentang diri sendiri. Berapa banyak manusia macam kita yang diberi peluang untuk belajar? Berapa banyak manusia macam kita yang diberi ruang masa, ruang meneroka minda dan juga ruang ekonomi yang memudahkan kita untuk terus menuntut ilmu. Ya, benar sejak akhir-akhir ini (sejak awal tahun lagi pun) kami asyik berbicara tentang harapan dan cita-cita kami. Bagiku menuntut ilmu itu suatu penjuangan. Jika orang lain tidak mahu, aku mahu. Jika orang lain tidak boleh, aku boleh, insyaallah. Bukan kerana mengejar nama, pangkat atau material tapi aku mahu menjadi sebahagian umat Islam yang dapat mengangkat darjat agamaku kerana ramai umatnya yang cintakan ilmu dan dapat pula berkongsi ilmu itu dengan orang lain. Kalau ada sekali sekala aku bercakap tentang pengajian atau cita-citaku ianya lebih kepada motivasi diri, dan jika aku kongsikan dengan orang lain juga bukanlah bertujuan untuk menunjuk-nunjuk atau menceritakan pencapaian aku, tak pernah begitu. Tapi aku mungkin tak sedar ada orang tak suka dengar dan merasa rendah hati atau cemburu atau menganggap aku ini macam tunjuk bagus. Tapi tak mengapalah, aku sering bertegas kepada diriku bahawa, apa pun yang orang lain katakan atau buat kepadaku...tidaklah penting melainkan yang dihisab oleh Allah adalah sikapku sendiri tergadap orang lain, fikiranku sendiri terhadap orang lain, Itulah yang dihisab. Dan sungguh aku takut aku tak sekuat yang aku katakan tapi siang malam aku berusaha mendidik hati bahawa, apa juga yang dihisab Allah, itulah yang penting bagiku. Kerana hanya dia yang mengetahui apa yang ada di dalam hatiku melebihi dari diriku sendiri. jadi ya Allah, aku pulangkan segalanya kepadamu...Ameen Ya Rabbal Alameen...




Untuk suamiku, aku rakamkan terima kasih sepenuh kasih sayang untukmu kerana selalu yakin dan percaya kepadaku akan kebolehanku, kerana selalu menjadi penyokong kuatku dalam setiap apa yang aku usahakan...dan terima kasih kerana selalu mengatakan aku boleh!

Wednesday, July 6, 2011

Letihkah Aku???

Benar, jika kita think big, maka ia jadi big!!! Bagus untuk menjayakan sesuatu wawasan atau cita-cita. Hancus untuk menghadapi masalah! lebih-lebih lagi kalau ia tak penting tapi sebab kita think big maka tiba-tiba ia jadi penting dan menguasai minda. I hate this.




Dan juga benar, jika kita think small, maka ia jadi small!!! Sangat bagus bila kita hadapi masalah dan dengan itu kita akan cepat selesaikan atau atasinya. Sangat tak bagus dalam hal cita-cita dan wawasan. Takkan ke mana kalau hati kecik.




Tapi janganlah perasan besar (kecuali jika badan besar is different story). Atau perasan pandai. Allah tidak suka itu. Dan jangan juga terlalu rasa kecil (sama jugak kalau badan kecil is different story). Kecil makna hati kecil, rasa diri tak pandai, bodoh, tak boleh buat sehingga timbul perasaan lain yang negatif dan melalut-lalut.




Ok tak nak melalut. Prinsipnya mudah. Aku mungkin letih sebab banyak fikir sekarang ni. Atau aku yang tak reti nak segmenkan minda aku, dan letak portion yang melebih-lebih pada benda yang tak patut aku fikir.




Wahai Kak Long. Di mana kredibilitimu ketika ini??? Bukankah kau telah banyak diuji. Bukankah kau juga telah berjaya menghadapi banyak perkara. Tapi kenapa kini kau jadi begini??? dah lupa ke teknik-teknik itu semua??? (lost somewhere kot sebab lama dok kat zon selesa)




Kerana aku cinta dia, aku sayang dia, maka aku sentiasa memikir bagaimana untuk buat dia bahagia dan tak mengguris perasaannya. dalam masa yang sama aku kasihan dia dan tak mahu dia dilayan sedemikian rupa. Dan aku tidak dapat membantu mengatasinya. Dan sungguh, aku akur ketentuan ini. Bahawa setiap hubungan itu diwujudkan oleh Allah swt dengan disertakan amanah atau tanggugjawab. Maka aku ada tanggugjawab untuk hubungan ini. Aku mahu memberi...dan memberi....Dan aku akan fikir besar untuk perkara baik, fikir kecil untuk hal tidak baik yang diperlakukan kepada aku.




Disayangi, kemudian dibenci, disayangi balik, dibenci lagi, disayangi balik...macam bola buang dan kutip dan buang dan kutip balik...penah korang rasa macam tu? kenapa biarkan??? kerana kalian baik hatikan????




barangkali sesuatu yang amat kamu sukai itu tidak baik untuk kamu, dan sesuatu yang kamu amat benci itu, baik untuk kamu...




Hanya Allah s.w.t yang maha mengetahui...




Sekian, terima kasih. Aku mahu teruskan tugas aku menaip banyak benda ni...lepak lepuk lepak lepuk (kata kanda aku ini buat kerja rumah bunyi bising! Dia tak tau aku tekan button menaip ni pun kuat bunyinya. Belum lagi bunyi basuh pinggan, potong ikan atau berus bilik air! Hahaha...but yang best kerja aku cepat siap! dan aku KakLong si lipas kudung yang sudah terbiasa macam tu akan cubalah berubah...buat kerja senyap-senyap...sopan santun gitu...)